fbpx
SEONGSAN ILCHULBONG lokasi wajib dikunjungi di Pulau Jeju kerana memiliki pemandangan cukup memukau.

Keindahan alam tarikan utama Pulau Jeju

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PELUANG melancong ke Pulau Jeju, Korea Selatan selama 11 hari bersama rakan-rakan untuk menyaksikan keindahan panorama dedaunan berwarna jingga dan merah keemasan terasa cukup berbaloi. 

Udara sejuk dan segar membuatkan suasana sangat tenang serta sesuai untuk melakukan aktiviti luar, sekali gus menjadi pengalaman menenangkan yang sukar dilupakan. 

Boleh dikatakan, setiap langkah sepanjang bersama rakan-rakan meninggalkan kenangan indah apabila berada di negara yang terkenal dengan gelaran K-pop itu. 

Bukan sahaja berjalan-jalan di kawasan sekitar, kami juga berjaya mendaki Gunung Hallasan yang merupakan gunung tertinggi di Korea Selatan. 

Pemandangan ketika musim luruh sangat menakjubkan, dan kami juga berpeluang menikmati panorama matahari terbit di Seongsan Ilchulbong yang menjadi lokasi wajib dikunjungi. 

Paling tidak dapat dilupakan apabila melihat sendiri betapa indahnya Air Terjun Jeongbang dan Air Terjun Cheonjeyeon. 

Kami juga sempat meluangkan masa bersiar-siar di Muzium O’sulloc Tea, selain berbasikal di sekitar Seogwipo dan Aewol untuk menikmati pemandangan pantai dan ladang. 

AIR Terjun Jeonbang merupakan salah satu tarikan menarik di Pulau Jeju, Korea Selatan.

Pemandangan semula jadi membuatkan pengembaraan ini menyeronokkan. 

Kami juga berpeluang berkunjung ke beberapa lokasi menarik seperti Taman Negara Hallasan, Jeju Stone Park dan Taman Botanikal Camellia Hill. 

Kami sempat meluangkan masa membeli-belah di Pasar Seogwipo Maeil Olle dan Pantai Jungmun Saekdal. Selain itu, kami turut mencuba hidangan enak di beberapa kafe mesra Muslim di sekitar Bandar Jeju dan Aewol. 

Sejujurnya, percutian di Jeju banyak mengajar saya tentang pentingnya menjaga kelestarian alam sekitar dan menghargai budaya.

Sepanjang pengamatan, saya melihat rakyat Korea Selatan sangat berdisiplin dan menghormati alam. 

Perkara itu telah memberi inspirasi kepada saya untuk melakukan perkara sama iaitu menjaga dan memelihara alam sekitar. 

PENULIS menikmati panorama matahari terbit di Seongsan Ilchulbong.

Perjalanan ini juga mengajar saya dan rakan-rakan tentang erti kerjasama dan persahabatan untuk melancarkan percutian. 

Bagi melancarkan perjalanan, kami mula merancang perjalanan kira-kira dua bulan lebih awal seperti membuat tempahan penginapan, menyusun itinerari harian dan menyewa kenderaan bagi memudahkan pergerakan di sekitar pulau. 

Sebagai pelancong Muslim, makanan halal antara cabaran utama apabila mengembara terutama di negara bukan Islam. 

Sebagai persediaan awal, kami membuat senarai restoran halal dan membawa sedikit makanan segera halal dari Malaysia.

Misalnya, mi segera dan serunding sebagai persediaan jika sukar untuk mendapatkan makanan. 

Kami turut memantau keadaan cuaca sepanjang percutian supaya dapat membawa pakaian sesuai dengan musim luruh seperti jaket tebal, kasut hiking dan baju berlapis. 

Sepanjang berada di sana, kami turut menggunakan aplikasi seperti Halal Korea dan Google Maps untuk menjejaki lokasi mesra Muslim. 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN