KEMAMPUAN melihat entiti misteri atau makhluk mistik boleh dianggap sebagai anugerah yang tidak inginkan oleh Kamil Ali (bukan nama sebenar). Hal ini kerana kebolehan itu bukan sesuatu yang menggembirakannya.
Kongsi pemuda berusia 30-an itu kepada CitaRasa, sejak remaja perkara sudah dianggap biasa olehnya.
Malah, dia menjadi ‘alat pengimbas’ sama ada wujud ‘tetamu tidak diundang’ atau tidak di sesuatu tempat oleh ahli keluarganya.
Disebabkan kemampuan itu juga, dia berdepan dengan insiden mencemaskan apabila makhluk menyeramkan muncul secara tiba-tiba saat sedang memandu kenderaan.
“Bukan selalu saya dapat melihat, tetapi sesekali dengan izin Allah SWT makhluk itu muncul di depan mata. Ini yang membuatkan saya terkejut dan meremang bulu roma.
“Begitu juga dengan kejadian seram yang menimpa saya ketika sedang dalam perjalanan ke Muadzam Shah (Pahang) untuk menjalani kursus baru-baru ini,” katanya memulakan bicara.
Disebabkan perlu menyelesaikan beberapa perkara, Kamil bergerak dari Seremban, Negeri Sembilan untuk ke Muadzam Shah selepas makan malam iaitu sekitar pukul 8 malam.
Memandu bersendirian sudah menjadi perkara biasa buat Kamil, biarpun hijabnya terbuka.
Bagaimanapun pada hari itu, satu perkara aneh berlaku ketika Kamil melalui laluan kelapa sawit pada waktu tengah malam. Ketika memandu, secara tiba-tiba, ada haiwan yang menyerupai seperti anjing berlari ke tengah jalan hingga mengakibatkan Kamil terperanjat dan hilang kawalan.
“Waktu itu, saya sangat bersyukur kerana tidak berlaku kemalangan selepas anjing berwarna hitam itu tiba-tiba melintas di tengah jalan.
“Mujur saya masih dapat mengawal kereta agar tidak merempuh pembahagi jalan atau masuk ke kawasan ladang kelapa sawit,” katanya.
Setelah itu, Kamil meneruskan pemanduan dan melajukan sedikit keretanya kerana mula berasa seperti ada yang tidak kena di kawasan itu.
Ketika sedang fokus dengan pemanduan, tiba-tiba Kamil memberhentikan keretanya kerana berasa seperti melanggar sesuatu.
Disebabkan bimbang jika terlanggar haiwan seperti kambing atau babi hutan, Kamil terus keluar dari kereta untuk memeriksa keadaan di sekeliling.
“Saya keluar kereta, tengok tiada apa-apa. Kereta pun baik-baik saja.
“Bagaimanapun ketika itu, saya yakin telah melanggar sesuatu sebab ada terdengar bunyi dentuman yang kuat.
“Selepas pusing keliling kereta, saya dapati tiada sebarang objek yang dilanggar. Kemudian, saya masuk semula ke dalam kereta.
“Sebaik masuk ke dalam kereta, saya menoleh ke tempat duduk belakang untuk memastikan beg dan beberapa barang lain tidak terjatuh dari tempat duduk akibat brek mengejut.
“Bila saya pandang kembali ke hadapan, saya terkejut melihat makhluk dengan kepalanya hampir putus.
“Manakala tangan kirinya di belakang kepala, sementara tangan kanan terpusing ke belakang. Makhluk itu bercangkung di bonet hadapan kereta saya,” ujarnya.
Dalam keadaan takut, Kamil memejamkan mata sambil membaca beberapa ayat al-Quran tanpa henti.
“Lepas itu, perlahan-lahan saya buka mata dan mendapati makhluk itu sudah tiada. Saya juga melihat di sekeliling untuk pastikan ia sudah tiada.
“Kemudian, saya meneruskan perjalanan menuju ke destinasi sambil membaca ayat-ayat al-Quran sebagai pendinding.
“Syukur, saya selamat dan tidak mengalami apa-apa selepas kejadian itu.
“Namun, kejadian itu memang menyeramkan kerana wajah makhluk tersebut penuh dengan kesan luka dan sebelah matanya tiada.
“Saya rasa makhluk itu mungkin jelmaan mangsa kemalangan maut di kawasan berkenaan,” kata Kamil.
Ekoran kejadian itu, Kamil tidak berani lagi memandu kenderaan pada waktu malam seorang diri terutama di kawasan gelap.














