fbpx
WARGA kota yang memerlukan beratur untuk mengambil makanan yang diagihkan oleh orang perseorangan dan NGO.

Seorang enam pek, makanan gelandangan banyak dibuang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Rata-rata gelandangan di ibu negara mengakui mereka dilambakkan dengan makanan hasil sumbangan orang per­seorangan dan badan bukan kerajaan (NGO) terutama pada waktu malam sehingga terpaksa dibuang di dalam tong sampah.

Setiap gelandangan menerima enam bungkus makanan iaitu nasi lauk ayam masak merah, nasi ikan goreng dan mi goreng dalam sehari.

Seorang gelandangan yang dikenali sebagai Azrul, 44, berkata, agihan makanan akan dilakukan pada pukul 7 malam hingga 1 atau 2 pagi.

“Kami terima bermacam jenis makanan seperti nasi, kadang-kadang ada mi sup. Biasanya kami ambil sahaja makanan yang diagihkan, makan atau tidak itu tidak penting,” katanya ketika ditemui Kosmo! baru-baru ini.

Katanya, sepanjang lima tahun tinggal di jalanan, makanan yang diterima itu dianggap lebih daripada mencukupi sehingga terpaksa dibuang ke dalam tong sampah.

Situasi sama turut diakui Kak Mah, 67, yang memberitahu menerima terlalu banyak makanan setiap hari sehingga tidak mampu untuk menghabiskannya.

MAKANAN yang disumbangkan orang ramai dibiarkan di tepi jalan ketika tinjauan di Kuala Lumpur baru-baru ini.

“Memang sedih, tapi ia tidak boleh disimpan. Kadang-kadang makan cuma tiga kali sehari, bia­sanya (makanan) memang berlebihan.

“Seronok dapat makanan dan syukur kerana ada pihak yang bermurah hati, tetapi kami sebenarnya memerlukan barangan keperluan lain seperti sabun,” ujarnya.

Seorang lagi gelandangan dikenali Wan, 71, berkata, sikap segelintir gelandangan yang memilih makanan turut menyumbang kepada pembaziran.

“Ada yang ambil lauk sahaja dan tinggalkan nasi. Bukan salah NGO, tapi mereka (gelandangan) perlu ubah sikap. Saya tidak mahu perkara ini berlarutan dan akhirnya akan menimbulkan masalah lain kepada gelandangan di sini,” katanya.

Sementara itu, pakar motivasi, Harun Abu Bakar, 56, berkata, isu lambakan makanan untuk gelandangan di ibu negara semakin meruncing berikutan tiada
penyelarasan sehingga menyebabkan berlakunya pembaziran.

Oleh itu, beliau mencadangkan agar sistem koordinasi diwujudkan bagi menguruskan peng­agihan makanan buat golongan yang memerlukan.

“Setiap hari pasti ada pihak yang datang untuk mengagihkan makanan, malah ada yang muncul setiap setengah jam pada setiap malam.

“Niat mereka memang baik untuk bersedekah, namun tanpa penyelarasan yang betul, makanan menjadi terlalu banyak hingga tidak dapat dihabiskan oleh
golongan sasar.

“Biasanya ramai yang datang beri makanan pada waktu petang dan malam. Apabila semua da­tang serentak, gelandangan makan berulang kali sehari,” katanya ketika ditemui.

Katanya, keadaan itu boleh menimbulkan masalah apabila makanan dan sisa dilonggokkan sehingga menimbulkan isu berkaitan kebersihan.

“Saya bimbang jika perkara ini berterusan, pihak berkaitan mungkin tidak lagi membenarkan aktiviti memberi makanan kepada golongan tersebut,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN