KUALA LUMPUR – Seorang lelaki warganegara Indonesia mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan memiliki buku lima di tempat awam tanpa kebenaran, dua minggu lalu.
Tertuduh, Muhammad Fadli, 29, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Mazuliana Abdul Rashid.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa memiliki buku lima di tempat awam tanpa kebenaran atau bagi maksud yang salah di pintu masuk tingkat tiga jejantas pejalan kaki, Terminal Bersepadu Selatan (TBS), pada pukul 10.23 malam, 24 Oktober lalu.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 6(1) Akta Bahan-Bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang lima tahun dan tidak lebih 10 tahun serta sebatan, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Noor Syafina Mohd. Radzuan, manakala tertuduh tidak diwakili peguam. Tiada sebarang jaminan ditawarkan kepada tertuduh.
Mahkamah menetapkan 25 November untuk sebutan semula kes bagi lantikan peguam dan penyerahan dokumen. – KOSMO! ONLINE














