fbpx
PASANGAN suami isteri berusia 27 dan 24 tahun direman selama enam hari selepas disyaki mendera anak angkat mereka berusia sembilan tahun, bulan lalu. - Foto oleh ARIF HAMIZAN MISKON

Rendam tangan dalam air panas, cucuh guna pemetik api

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

MELAKA – Sepasang suami isteri ditahan selepas dipercayai mendera anak angkat berusia sembilan tahun dengan cara mencucuh mangsa menggunakan pemetik api dan merendam tangan ke dalam air panas hanya kerana pensel warna hilang.

Menurut sumber, perbuatan kejam pasangan berusia 24 dan 27 tahun itu terbongkar pada 30 Oktober lalu apabila abang suspek datang ke rumah mereka di Batu Berendam di sini dan ternampak kesan melecur pada jari kanan dan parut pada kaki kanak-kanak lelaki tersebut.

“Suspek wanita menceritakan kepada isteri pengadu dia menyiram tangan anak angkatnya itu dengan air panas kerana geram selepas kanak-kanak itu menghilangkan pensel warna di sekolah.

“Kaki mangsa juga pernah dicucuh dengan pemetik api oleh suaminya yang bekerja sebagai pemandu lori. Wanita itu yang terkejut segera memaklumkan kejadian tersebut kepada suaminya ketika dalam perjalanan pulang,” katanya ketika dihubungi.

Sumber berkata, keesokan harinya, abang suspek dan bapanya kembali ke rumah pasangan tersebut dengan alasan mahu membawa mangsa keluar bersiar-siar dan suspek bersetuju dengan syarat mangsa dihantar pulang segera.

“Ketika berada di rumah bapa pengadu, mangsa mengadu dia sering dipukul oleh pasangan tersebut. Mangsa mendakwa jarinya direndam dalam air panas hingga melecur kerana menghilangkan pensel warna, manakala parut di kaki pula akibat dicucuh pemetik api pada Ogos lalu,” ujarnya.

Katanya, pengadu yang tidak berpuas hati dengan perbuatan pasangan itu membuat laporan di Balai Polis Batu Berendam pada 2 November lalu.

Tambahnya, sepasukan anggota dan pegawai Cawangan D11 Jabatan Siasatan Jenayah Melaka menahan kedua-dua suspek tersebut tengah hari semalam.

Pasangan suami isteri itu direman selama enam hari bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara sehingga 20 tahun atau kedua-duanya.

Perintah reman bermula hari ini sehingga 10 November itu dibenarkan Majistret Uthman Abd. Ghani di Mahkamah Majistret Melaka di sini hari ini. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI