fbpx
Nik Nazmi dan Rafizi.

Rafizi, Nik Nazmi tak terikat bon RM10 juta PKR

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Datuk Seri Rafizi Ramli menegaskan beliau dan Nik Nazmi Nik Ahmad tidak terikat dengan bon RM10 juta yang dikaitkan dengan PKR susulan keputusan mereka meninggalkan parti itu.

Bekas Timbalan Presiden PKR itu berkata, langkah mengosongkan kerusi Parlimen Pandan dan Setiawangsa terlebih dahulu menjadi faktor utama mereka tidak tertakluk kepada tindakan berkenaan.

Menurutnya, bon tersebut hanya terpakai sekiranya seseorang Ahli Parlimen keluar parti dan menyertai parti lain tanpa melepaskan kerusi yang dimenangi atas tiket PKR.

“PKR ada saman atau bon sekiranya Ahli Parlimen keluar parti dan masuk parti lain kerana sebelum ini tiada wakil rakyat yang sanggup kosongkan kerusi.

“Ramai mahu kekal jadi Ahli Parlimen tetapi bertukar parti. Apa yang kami lakukan hari ini ialah memulangkan semula mandat kepada rakyat dengan mengosongkan kerusi,” katanya pada sidang akhbar pengumuman hala tuju politiknya bersama Nik Nazmi, di sini hari ini.

Rafizi berkata, tindakan itu juga diambil bagi mengelakkan persepsi bahawa mereka cuba melanggar Akta Anti-Lompat Parti.

“Kami hormati mandat yang diberikan rakyat ketika menang atas tiket PKR dan Pakatan Harapan sebelum ini, sebab itu kami pilih untuk kosongkan kerusi,” ujarnya.

Sementara itu, beliau menyerahkan kepada Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul untuk menentukan sama ada Pilihan Raya Kecil perlu diadakan susulan kekosongan dua kerusi Parlimen terbabit.

Terdahulu, Kosmo! melaporkan Rafizi yang juga Ahli Parlimen Pandan dan Nik Nazmi, Ahli Parlimen Setiawangsa, mengumumkan keluar parti dan mengesahkan akan mengambil alih sebuah parti politik dikenali sebagai Parti Bersama Malaysia (MU).

Sebagai rekod, MU merupakan sebuah parti politik kecil yang didaftarkan pada 2 Disember 2016 di Georgetown, Pulau Pinang oleh pengasasnya, Tan Gin Theam. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN