PETALING JAYA – “Mak, abang kerja sikit lagi. Malam ini abang balik bawa lauk kegemaran mak.”
Itu pesanan terakhir yang ditinggalkan seorang penghantar makanan kepada ibunya sebelum rebah dan meninggal dunia di tepi jalan ketika dalam perjalanan menghantar pesanan pelanggan.
Menurut perkongsian di Threads oleh @realhairie, ketika kejadian lelaki itu dalam perjalanan menghantar pesanan ke rumah pelanggannya, namun tidak kesampaian.
“Seorang abang penghantar makanan rebah tepi jalan semasa hantar pesanan terakhir. Dalam beg dia masih ada makanan pelanggan. Orang awam cuba bantu, tapi Allah lebih sayangkan dia,” tulisnya.
Difahamkan, lelaki itu cuma tidur selama tiga jam sehari untuk mencari wang bagi membayar rawatan ibunya yang menghidap penyakit buah pinggang.
Katanya, resit derma tabung masjid sebanyak RM10 turut dijumpai di dalam beg lelaki itu. Ia merupakan sumbangan kecil arwah yang dibuat setiap minggu tanpa gagal.
Menurut perkongsian sama, ibu lelaki itu reda anaknya tidak sempat pulang untuk makan bersama, malah berbangga kerana anaknya meninggal dunia ketika mencari rezeki yang halal.
Perkongsian tersebut mendapat perhatian pengguna Threads yang turut sebak dengan kisah penghantar makanan tersebut.
“Allahuakbar. Terlalu penat? Bukan sekali saja terbaca kisah penghantar makanan yang kecundang ketika mencari rezeki. Semoga Allah memuliakan darjatnya di sana,” kata Dayangku.
“Innalillah, semoga ditempatkan bersama orang-orang beriman dan salam takziah buat mak dan keluarga. Semoga mak dia kuat dan tabah dengan dugaan ini,” balas Hapsah Mohammed.
“Kesiannya. Sedih sebab dia tak sempat nak bawa balik makanan kepada ibunya. Semoga ditempatkan dalam kalangan orang beriman,” ujar Iza. – KOSMO! ONLINE














