fbpx
Hishamuddin (tengah) bersama sebahagian mangsa penipuan pada sidang akhbar di Jabatan Peguam Negara Cawangan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

‘Ini bukan kes kecil, lebih RM80 juta wang rakyat hilang’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) menggesa pihak berkuasa menyemak semula keputusan mengklasifikasikan kes penipuan pelaburan Forex dan mata wang kripto bernilai jutaan ringgit sebagai tiada tindakan lanjut (NFA).

Sseramai 209 individu tampil membuat laporan polis selepas mendakwa menjadi mangsa penipuan pelaburan disyaki didalangi individu tempatan melibatkan kerugian  mencecah RM83 juta.

Setiausaha Agung MHO, Datuk Hishamuddin Hashim berkata, keputusan mengklasifikasikan laporan itu sebagai NFA menimbulkan kekecewaan dalam kalangan mangsa yang telah menunggu keadilan selepas penantian panjang.

Menurutnya, arahan agar kes tersebut dirujuk kepada Bank Negara Malaysia (BNM) atas alasan melibatkan perkhidmatan kewangan tanpa lesen tidak seharusnya menolak kemungkinan berlakunya kesalahan jenayah di bawah kanun keseksaan.

“Mangsa percaya wujud unsur penipuan dan niat tidak jujur yang jelas, justeru kami mendesak agar siasatan semula dijalankan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan atau Seksyen 130B kerana sindiket ini bersifat jenayah terancang,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Beliau berkata, sindiket terbabit dipercayai beroperasi secara antarabangsa dengan menggunakan platform dagangan forex dan kripto palsu yang turut mensasarkan mangsa dari Australia, Kanada, Taiwan dan China.

Tambahnya, modus operandi sindiket itu melibatkan pemindahan wang ke lebih 20 akaun bank tempatan yang dikendalikan oleh individu yang berperanan sebagai lokal depositor sebelum dana dipindahkan ke luar negara.

Menurut Hishamuddin, bukti kukuh seperti senarai akaun bank, video promosi dan dokumen transaksi telah diserahkan kepada pihak berkuasa namun tindakan lanjut masih belum diambil walaupun siasatan awal pernah dibuka di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

“Ini bukan kes kecil. Ia melibatkan lebih RM80 juta wang rakyat. Tindakan menghentikan siasatan dan mengklasifikasikan NFA memberi isyarat salah kepada masyarakat dan seolah-olah membiarkan penjenayah bebas,” tegasnya.

Seorang mangsa, Alan Tan, 58 tahun, melahirkan rasa kecewa apabila suspek utama yang disyaki masih bebas dan menikmati kehidupan mewah di Malaysia walaupun ramai pelabur kehilangan wang simpanan.

“Bagaimana kes sebegini boleh dianggap tiada tindakan lanjut? Kami menuntut keadilan. Jika negara lain Malaysia juga mesti lakukan perkara serupa,” katanya.

MHO menegaskan pihaknya akan terus memperjuangkan keadilan kepada semua mangsa selain menyeru orang ramai agar lebih berhati-hati sebelum menyertai mana-mana skim pelaburan dan sentiasa membuat semakan dengan agensi kawal selia seperti BNM dan Suruhanjaya Sekuriti.- KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI