fbpx
SELEPAS ditemui setelah hilang sepanjang hari, anak Rahman memberitahu bahawa dia bertemu dua lelaki berjubah di dalam dusun durian sebelum tidak sedarkan diri. –ilustrasi hasan shah

Anak disorok bunian dalam dusun durian

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

APABILA musim durian tiba, pemuda itu akan mula sibuk menguruskan dusun duriannya yang juga lebat berbuah tiap tahun.

Menjadikan tanaman durian sebagai pendapatan sampingan, dia juga sentiasa mencari peluang untuk memperbanyak lagi hasil tanaman dengan membeli kebun baharu.

Dan hal itu dilakukan olehnya pada tahun lalu apabila dia ditawarkan sebidang dusun durian terbiar yang ingin dijiual oleh kenalan rakannya.

Kata pemuda yang hanya ingin dikenali sebagai Rahman itu, dek mengetahui kebun durian seluas 5 hektar tersebut sudah mempunyai pokok matang, dia tidak teragak-agak untuk membelinya.

“Dusun tersebut terletak di Negeri Sembilan, berdekatan dengan kawasan hutan dan sungai jernih, memang saya tidak melepaskan peluang untuk membelinya.

“Meskipun kebun tersebut terbiar, terdapat sebahagian kawasan yang kelihatan kemas dan terjaga tanpa semak samun,” katanya ketika dihubungi baru-baru ini.

Tambah bapa kepada tiga cahaya mata itu, meskipun keadaan itu terasa janggal dia tidak mengendahkan perkara itu dan menguruskan dusun tersebut sama seperti dusun yang lain.

Namun begitu, terdapat kejadian aneh yang berlaku kepada dirinya semasa dia menguruskan dusun tersebut.

Kejadian itu amat memberi kesan kepada dirinya kerana melibatkan keselamatan anaknya yang masih kanak-kanak semasa bawanya ke dusun berkenaan ketika musim durian tiba.

Kongsi Rahman, hal itu terjadi semasa dia membawa keluarga untuk melawat dusun itu untuk melihat hasil buah buat kali pertama selepas membeli kebun tersebut.

Dia dan keluarga teruja kerana di dusun itu terdapat banyak pokok durian kampung yang kata rakannya memiliki isi yang enak.

“Selepas membeli dusun tersebut saya ada membina satu rumah kebun untuk menjadi tempat persinggahan dan bermalam jika datang ke sini.

“Hari itu awalnya tidak ada apa-apa kejadian aneh yang terjadi sehingga pada hari kedua semasa saya dan anak-anak keluar untuk mengutip buah durian di waktu pagi,” ujarnya.

Katanya lagi, dia dan anak-anak berpecah di sekitar dusun untuk memungut buah durian sebelum berkumpul semula ke rumah kebun.

Selepas bakulnya penuh mengumpulkan buah durian, Rahman memutuskan untuk pulang ke rumah kebun, namun selepas tiba dia mendapati anak keduanya masih belum pulang walaupun sudah tengah hari.

Dia bertanya kepada dua anaknya yang lain tentang keberadaan seorang lagi anaknya itu, tetapi mereka berdua juga tidak mengetahuinya.

Keadaan bertukar cemas apabila usaha Rahman mencari anaknya di sekitar dusun tidak berjaya dan hal itu membuatkan dia lebih risau.

Namun, hanya ketika menghampiri waktu maghrib, dia kemudian melihat ada sosok manusia yang tertidur di bawah sebuah pohon durian dekat kawasan kemas yang tidak bersemak.

“Memang masa itu sudah hampir maghrib, saya masih mencari anak saya, tiba-tiba ada sosok orang tidur di pohon durian dan apabila dilihat lebih dekat itu anak saya.

“Saya cuba bangunkan dia tetapi tidak sedar, jadi saya dukung dan bawa dia ke rumah kebun kami kemudian menjelang isyak baru dia terjaga,” katanya.

Selepas anaknya sedar, Rahman bertanya kepadanya ke mana dia menghilang dari pagi, namun jawapan anaknya itu amat mengejutkan.

Kata anaknya, semasa dia sedang mengutip buah durian, dia terdengar ada bunyi buah gugur di kawasan lapang dekat dalam dusun kemudian semasa ke sana dia melihat ada dua sosok lelaki berjubah berjalan di situ.

Ceritanya lagi, dia kemudian menegur kedua lelaki berkenaan dan kemudian mereka mengajaknya ke satu pondok yang terletak berdekatan dengan dusun.

Anaknya kemudian tidak meneruskan ceritanya kerana katanya keadaan selepas itu agak samar-samar, namun apa yang dia ingat semasa tiba di pondok berkenaan dia terasa mengantuk kemudian terlelap.

Rahman bingung dengan cerita anaknya kerana dia mengetahui bahawa dia menemukan anaknya di bawah sebatang pokok durian.

Pada keesokan harinya dia menuju ke kawasan lapang yang dimaksudkan oleh anaknya, namun tidak menemui sebarang rumah pondok yang dimaksudkan.

“Semasa mencari pondok tersebut saya berselisih dengan pasangan orang tua yang baru pulang menorah getah dan bertanya jika mereka tahu ada pondok berdekatan.

“Mereka juga bingung pada awalnya tetapi apabila saya menunjukkan tempat yang dimaksudkan anak saya mereka agak terkejut,” kongsinya.

Kata mereka, kawasan yang dimaksudkan itu sebenarnya adalah wilayah perkampungan bunian dan orang kampung juga tidak berani ke sana kerana sudah banyak kes orang hilang di sana.

Mengetahui hal itu, Rahman menjadi seram sejuk dan kemudian menceritakan hal berkenaan kepada keluarganya dan menasihatkan supaya mereka tidak ke kawasan tersebut jika kembali berkunjung ke dusun itu lagi.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN