Penjenamaan semula Kelantan Gold Trade Sdn. Bhd. (KGT) sejak tujuh tahun lalu bertepatan dengan trend semasa industri emas di pasaran tempatan dan global membolehkan anak syarikat milik kerajaan negeri Kelantan ini mengorak langkah untuk terus berdaya saing.
Di bawah kendalian Pengurus Besarnya, Wan Muhammad Najahuddin Wan Fuad, pelbagai inisiatif telah dan sedang dilaksanakan untuk membolehkan syarikat berada bersama pemain lain dalam industri ini aktif meneroka peluang agar syarikat dapat memberi manfaat kepada para pelanggan, pemegang taruh sekali gus memacu hasil kepada perkembangan ekonomi negeri.
Beliau yang begitu bersemangat memperincikan tentang pelbagai perancangan, program dan inisiatif serta produk yang sedang dan akan diperkenalkan di pasaran menunjukkan syarikat mampu merealisasikan KPI yang ditetapkan untuk kembali mencatat keuntungan pada masa depan.
Transformasi ke arah digitalisasi dan juga menjalinkan kerjasama pintar dengan lebih banyak koperasi tempatan untuk menawarkan transaksi jual beli emas selain Ar Rahnu adalah antara kelebihan KGT yang mana ia juga bakal memberi impak positif kepada industri koperasi di negara ini.
Bersikap positif dan optimis terhadap pasaran komoditi bernilai itu terus meningkat, KGT kini telah membantu memperkasa literasi kewangan dalam kalangan rakyat, peminat emas dan juga pelanggan menambah simpanan masing-masing.
“Fokus kami kini adalah kepada tiga segmen iaitu korporat, peruncitan dan kerajaan yang mana perkembangan syarikat semakin stabil aktif bergerak ke hadapan sekali gus berjaya meningkatkan keyakinan masyarakat dan pengguna untuk terus menyokong kami dalam misi jangka panjang,” katanya dalam satu pertemuan dengan Kosmo! di Kuala Lumpur baru-baru ini.

KOSMO!: Boleh jelaskan secara umum tentang KGT?
WAN MUHAMMAD NAJAHUDDIN: Syarikat ini telah ditubuhkan sejak tahun 2008 dan ia adalah anak syarikat milik kerajaan negeri bertujuan untuk meningkatkan kesedaran dan pengetahuan masyarakat negeri Kelantan ketika itu khususnya untuk menabung dalam simpanan emas dan sebagai inisiatif memartabatkan penggunaan dinar serta dirham.
Alhamdulillah, melalui pelaksanaan penstrukturan semula yang strategik serta komitmen berterusan dalam memperkukuh operasi dan tadbir urus, syarikat kini berada pada landasan pemulihan yang stabil dengan prestasi kewangan semasa yang memberangsangkan.
Syarikat juga menunjukkan tahap kestabilan yang kukuh hasil daripada pelaksanaan inisiatif berimpak tinggi yang selaras dengan arus semasa, khususnya dalam memperkukuh keupayaan melalui pendekatan digitalisasi.
Apakah rancangan yang disusun syarikat?
Kami menambah baik perkhidmatan online dan kami juga telah menjalin kerjasama pintar dengan beberapa pihak khususnya koperasi yang membolehkan koperasi berkenaan selain menawarkan khidmat Ar Rahnu, ia juga kini menawarkan jualan emas yang mana ia akan membantu meningkat daya saing sekali gus mengukuhkan pendapatan koperasi untuk jangka panjang.

Ada lagi inisiatif terbaharu yang bakal dilancarkan?
Kami juga akan memeterai perjanjian dengan sebuah syarikat e-dagang untuk memfokuskan kepada segmen fintech emas dan kami juga akan melancarkan satu lagi produk menarik, yang mana ia akan dapat membantu mengukuhkan pendapatan atau aset masjid melalui kaedah menginfak emas kepada institusi masjid pada masa depan.
Berapa cawangan koperasi yang telah KGT jalin usaha sama pintar?
Sehingga sekarang kami ada 12 cawangan koperasi di seluruh negara dan kami juga telah menerima pertanyaan dan melaksanakan perbincangan dengan kira-kira 30 koperasi lain untuk terlibat sama dalam projek ini tidak lama lagi.
Apakah produk menarik yang ditawarkan syarikat?
Idea menarik yang dilaksanakan oleh kerajaan negeri sebelum ini adalah dengan menyumbang RM100 kepada bayi baru lahir, tetapi kini, sumbangan itu telah telah diubah kepada emas iaitu seberat 0.15 gram yang kini jika dinilai pada pasaran semasa, harganya terus meningkat.
Sejak ia diperkenalkan pemberian sumbangan dalam bentuk emas tahun 2024, lebih daripada 3,000 bayi mendapat manfaat. Kami juga menawarkan khidmat simpanan emas dalam bentuk dirham yang mana harganya kini turut meningkat.
Kami telah membangunkan sistem yang boleh menukar nilai dirham ini kepada emas. Jika dulu, mereka yang memiliki dirham hanya perlu menyimpannya untuk selamanya tetapi melalui sistem yang kami bangunkan, dirham tersebut boleh dipertingkatkan kepada nilai emas yang mana ini akan memudahkan penggunanya mencairkan emas di pasaran ataupun, mereka juga boleh menggadaikan dirham hanya di KGT.
Sehingga kini, nilai pasaran keseluruhan dirham yang dikeluarkan dan dipasarkan oleh syarikat dianggarkan mencecah sekitar RM47 juta, mencerminkan keyakinan berterusan pelanggan terhadap produk berasaskan logam berharga keluaran syarikat.
Boleh jelaskan tentang trend kenaikan emas pada masa sekarang dan ramalannya?
Ketika ini berlakunya kenaikan harga emas yang tinggi ekoran pelbagai faktor luaran di pasaran antarabangsa. Kami jangkakan trend kenaikan ini berterusan hingga suku pertama tahun depan.
Kenaikan ini sekitar 20 hingga 30 peratus dan kami lihat, kematangan pasaran emas lebih ketara berbanding institusi kewangan. Dalam trend kenaikan ini, masih ramai yang masih mahu membeli emas kerana berkeyakinan terhadap kestabilan pasaran komoditi tersebut.
Mereka bukan sahaja terdiri daripada golongan T20 tetapi juga B40 yang suka membeli dan menyimpan, tidak semestinya membeli dalam jumlah yang besar hanya sekadar mengikut bajet masing-masing.
Apakah nasihat kepada mereka yang terlibat dalam simpanan emas ataupun yang baru cuba menabung?
Untuk menyimpan emas, individu itu perlu ada ilmu dan misi masing-masing dan jangan dibuat untuk spekulasi (selalunya berlaku kepada mereka yang bermodal besar). Jangan ikut trend, orang beli dan promosi emas, jadi kita pun nak beli tanpa ada sebarang ilmu dan objektif.
Jadi anak muda, boleh menyimpan dengan emas seberat 0.1 gram dan seterusnya bertambah sedikit demi sedikit kerana kenaikannya itu stabil dan mampu memberi hasil yang baik untuk jangka panjang. -KOSMO! ONLINE














