TAIPING – Selepas hampir setahun ‘melarikan diri’, seorang bekas pemandu bas persiaran dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini bagi menghadapi pertuduhan memandu di bawah pengaruh dadah hingga menyebabkan kematian seorang pelancong wanita warga Jepun, tahun lalu.
Tertuduh, Hadzarshah Abu Hassan Al Sha’ari, 42, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan selepas pertuduhan ke atasnya dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Ahmad Hamdi Mustafar.
Mengikut pertuduhan, tertuduh yang kini bekerja sebagai pemandu lori didakwa telah memandu kenderaan di bawah pengaruh dadah yang menyebabkan tidak berdaya mengawal kenderaan sepatutnya sehingga menyebabkan kematian penumpang bas, Michiyo Saito.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Kilometer 230.3, Lebuh Raya Utara-Selatan arah selatan dalam daerah Larut Matang dan Selama pada pukul 1.30 petang, 24 Oktober 2024, dan pertuduhan terhadap lelaki itu dikemukakan mengikut Seksyen 44(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Nazura Azman tidak mencadangkan jaminan kerana tertuduh sebelum ini gagal hadir ke mahkamah selain tidak memberi kerjasama kepada polis.
“Kes itu turut mendapat perhatian kerajaan Persekutuan dan Jepun memandangkan ia melibatkan kematian warga negara tersebut, selain kebimbangan tertuduh akan melarikan diri,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE