fbpx
Mohd. Mufsi (kiri) menunjukkan kandungan petrol RON95 yang diberi mengikut liter bagi harga subsidi RM1.99 (kiri) dan bukan subsidi, RM2.60 seliter sama di sebuah stesen minyak di Jakar, Kemaman hari ini.

[VIDEO] Dakwaan manipulasi meter pam Budi95 tidak benar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KEMAMAN – Dakwaan kononnya berlaku manipulasi meter pam yang menyebabkan isian petrol kurang yang tular di media sosial sejak pelaksanaan Budi Madani 95 (Budi95) melibatkan petrol RON95 pada harga subsidi RM1.99 seliter didapati tidak benar.

Pengarah Kementerian Perdagangan Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Terengganu, Mohd. Mufsi Lat berkata, pemeriksaan dilakukan bersama Metrology Corporation Malaysia Sdn. Bhd. berikutan empat aduan diterima di seluruh negeri ini setakat ini mengesahkan bacaan meter pam terbabit berada dalam had selisih dibenarkan.

Beliau berkata, anggota penguat kuasa KPDN bersama Metrology Corporation Malaysia telah menjalankan pemeriksaan serta penentusahan meter pam minyak di stesen yang menerima aduan.

“Pemeriksaan itu dilakukan menggunakan alat penentusahan khas bagi memastikan ketepatan bacaan serta pematuhah piawaian ditetapkan di bawah Akta Timbang dan Sukat 1972.

“Hasil pemeriksaan mendapati tiada bukti kukuh menunjukkan berlakunya sebarang manipulasi oleh pengendali stesen minyak,” katanya selepas melakukan pemeriksaan di sebuah stesen minyak di Jakar, di sini hari ini.

Dalam perkembangan sama, Mohd. Mufsi berkata, KPDN telah menjalankan 164 pemeriksaan di stesen minyak seluruh Terengganu sejak pelaksanaan Budi95 pada 30 September lalu.

Beliau berkata, setakat ini, tiada sebarang pelanggaran peraturan berkaitan pelaksanaan Budi95 dikesan di negeri ini.

“Kita juga tidak menerima sebarang kes warga asing menyalahguna petrol RON95 dengan harga subsidi RM1.99 seliter yang dikhaskan untuk rakyat tempatan,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI