fbpx
DEANNA yang berjiwa Hindustan melakar pencapaian membanggakan dalam perniagaan pelancongan menerusi syarikatnya TravelwithDeanna Tours Sdn. Bhd. yang banyak menerima pelanggan dalam kalangan diraja, kenamaan dan artis.

Deanna pencinta Bollywood usahawan ‘travel’ artis, VIP

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

“MENGEMBARA memang menjadi hobi dan minat saya sejak lebih 20 tahun lalu.

“Habis belajar di universiti, saya terus bekerja dan dengan pendapatan yang diperoleh, saya pergi mengembara ke luar negara.

“Dek kerana hobi itu jugalah, saya jadi ‘gian’ dan terpaksa lakukan dua kerja pada satu masa semata-mata mahu mencari duit lebih untuk mengembara.”

Itu cerita Deanna Abdul Rahman, 41, tatkala menyorot kisah silamnya yang menjadi titik tolak pengasasan syarikat travel atau pelancongan miliknya sendiri.

Berjawatan Ketua Pegawai Eksekutif TravelwithDeanna Tours Sdn. Bhd., Deanna meraih pencapaian yang membanggakan.

Meskipun masih ‘hijau’ dalam gelanggang pelancongan, dia pernah dinobatkan sebagai Tokoh Usahawan Negara Dewan Perniagaan Datuk Dato’ Malaysia (DPDDM) 2025 Februari lalu.

Tidak setakat itu, kesungguhannya dalam perniagaan juga mendapat perhatian pihak luar hingga dinobatkan No. 1 Best Inspiring Women 2023 (Jakarta, Indonesia) dan 100 Most Successful People In Malaysia & Singapore daripada Britishpedia United Kingdom tahun lalu.

DEANNA di samping arwah bapanya yang banyak memberi dorongan kepadanya menceburi bisnes.

Berkongsi kepada K-Wanita, wanita berasal dari Pulau Pinang berdarah ‘anak mami’ yang suka mengenakan pakaian ala Bollywood itu mengakui, sebelumnya dia pernah melakukan pelbagai kerja termasuk di beberapa syarikat korporat sebelum mengambil keputusan mengusahakan bisnes.

“Saya ada ikhtisas dalam jurusan perakaunan dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) Perlis. Habis sahaja belajar saya mulakan kerjaya korporat di bank di ibu kota.

“Pada masa sama, dek kerana saya memang minat mengembara dan suka bercuti, saya ambil keputusan untuk buat dua kerja.

“Habis sahaja kerja di bank sekitar pukul 6 petang, saya bergegas ke konti radio di Bukit Jalil untuk ke udara bersama pendengar menerusi segmen lagu-lagu Hindustan, Hindi Power.

“Kerja radio itu saya lakukan secara separuh masa dan akan bersiaran setiap hari Isnin hingga Jumaat, pukul 8 malam sampai 12 tengah malam.

“Itulah rutin saya setiap hari. Hujung minggu baru saya ada masa bercuti dan berehat. Pada masa sama, saya akan selang-selikan dengan pergi mengembara ke luar tetapi dengan cuti yang sangat terhad,” katanya.

JELAS anak kelima daripada lapan beradik itu, dia melakukan dua kerja selama lima tahun.

Meneruskan kisah, Deanna memberitahu, tempoh dia bekerja di beberapa bank di ibu kota mencecah hampir 12 tahun sebelum kembali bekerja di negeri kelahirannya, seterusnya terdetik berhenti makan gaji.

“Selepas lama bekerja di bank, saya ditawarkan bekerja di Google Malaysia berlokasi di Pulau Pinang dalam bidang pemasaran.

“Waktu itu gaji memang menarik dan lebih banyak saya boleh peroleh berbanding buat dua kerja sebelum ini.

“Cumanya saya merasakan langsung tiada masa untuk bercuti. Saya rasa sukar untuk ambil cuti panjang jika mahu bercuti ke luar negara terutama ke sebelah Eropah.

“Jadi, lepas fikir masak-masak, berbekalkan wang modal yang ada, saya nekad lepaskan jawatan dan mahu fokus dengan perniagaan sendiri.

“Cumanya ketika itu saya runsing hendak lakukan perniagaan apa. Pertama tentunya berkaitan pelancongan dan pada masa sama, saya juga suka memasak dan minat katering.

“Maka ketika itu jugalah arwah ayah saya membantu dengan memberikan penyelesaian. Ayah yang juga mempunyai perniagaan pusat belajar memandu nasihatkan untuk buka perniagaan pelancongan sendiri disebabkan minat saya lebih ke arah itu,” ujarnya panjang lebar.

DEANNA (tengah) bersama kumpulan pertama yang mengambil pakej percutian ke New York dan Los Angeles, Amerika Syarikat bersamanya.

Akui Deanna, berbekalkan secebis pengalaman terdahulu membawa 10 orang rakan baiknya ketika masih bekerja di syarikat korporat sebelum ini ke Medan, Indonesia pada Disember 2018, dia nekad mendaftar bisnes sendiri.

Jelasnya, ketika menjadi tour guide (pemandu pelancong) buat pertama kalinya ke Medan, dia berjaya memperoleh keuntungan sebanyak RM300.

Selepas kejayaan dan muncul keyakinan bagi destinasi pertama itu, dia melangkah dan mencuba pula membuka trip ke Phuket, Thailand dengan membawa lebih ramai orang.

Ketika itu, dia berjaya memperoleh keuntungan sebanyak RM1,000 dan itu turut menjadi titik tolak kepadanya untuk terus mengorak langkah dalam bisnes sendiri.

Bercerita mengenai perniagaan yang dibuka sejak penghujung 2018 itu, bermula dari sekecil-kecil pakej percutian, hingga kini syarikatnya menawarkan pelancongan ke 30 buah negara dan lebih 70 bandar utama termasuklah di Eropah dan Amerika Syarikat.

Menurut Deanna yang masih bujang, ketika awal memulakan perniagaan, tidak dinafikan agak sukar mencari pelanggan meskipun pakej yang ditawarkan begitu murah.

Seingatnya, dia pernah memuat naik poster, gambar dan video mengenai pakej pelancongan ditawarkan, tetapi langsung tidak mendapat sambutan apatah lagi mengejar sasaran jualan.

Hampir terduduk dengan ujian berbisnes di peringkat awal, arwah bapanya ketika itu setia menjadi insan paling ‘dekat’ yang sentiasa memberikan kata-kata semangat untuknya terus berjuang dan bersabar.

Bapanya meninggal dunia pada tahun 2022.

Akui Deanna lagi, detik di mana perniagaannya betul-betul melonjak dan dikenali ketika dunia perlahan pulih daripada Covid-19 iaitu pada awal 2023.

Bagai mimpi, selebriti Emma Maembong menghantar mesej kepadanya menerusi Instagram dan setuju untuk mengambil pakej percutian bersamanya ke luar negara dengan membawa keluarga seramai 31 orang.

“Bermula dari situlah Allah buka jalan dan sinar untuk perniagaan saya. Emma sendiri bantu promosikan pakej yang ditawarkan secara tidak langsung ramai menyedari kewujudan bisnes saya.

“Peminat-peminat dia (Emma) juga banyak mesej saya di Instagram dan mahu pakej yang sama diambil. Kami ada pakej berkumpulan dan private (persendirian).

“Dari situlah perniagaan saya mula berkembang hingga ramai lagi selebirit, pempengaruh, malahan golongan diraja dan kenamaan menggunakan servis ditawarkan selain saya mampu menggajikan enam pekerja kerana permintaan kian memberangsangkan.

“Kini Alhamdulillah saya ada lima staf tetap di Kuala Lumpur yang banyak bantu lancarkan operasi bisnes dan seorang staf yang urus premis di Pulau Pinang,” katanya.

Berkenaan Tokoh Usahawan Negara yang diterimanya Februari lalu, dia begitu terharu dengan penghargaan berharga tersebut dan tidak pernah menyangka mampu sampai ke tahap itu.

“Terima kasih kepada DPDDM yang memberi pengiktirifan itu. Saya berbangga kerana dapat berkongsi pentas bersama insan-insan hebat lain seperti Datuk Aaron Aziz dan Datuk Norman KRU.

“Mengenai pemilihan, saya difahamkan terpilih kerana kejayaan menjadi syarikat pertama pelancongan milik bumiputera dan diuruskan wanita yang menawarkan trip ke Amerika Syarikat seperti New York pada harga serendah RM11,000.

“Kebiasaannya kita dengar banyak syarikat atau agensi pelancongan tawarkan pakej ke negara-negara di benua Eropah, tetapi saya setapak ke hadapan dengan buka trip ke Amerika Syarikat juga,” katanya.

Menyentuh mengenai minatnya kepada dunia Bollywood, Deanna mengakui dirinya berjiwa Hindustan dan ia mungkin juga banyak dipengaruhi oleh keturunanannya.

Mengenai perancangan jangka panjang, Deanna memberitahu banyak rencana yang akan dilakukan TravelwithDeanna seperti bakal beroperasi di beberapa bandar di Eropah.

Pada masa sama, syarikat optimis mahu membuka beberapa hab seperti di London, Vienna (Austria) dan bandar-bandar di Switzerland di samping membuka peluang serta berkongsi ilmu kepada lebih banyak dropship yang mahu bekerjasama atau bergelar pemilik perniagaan sepertinya.

“Saya juga mahu buka lebih banyak perjalanan ke negara luar lain seperti di benua Afrika dan jika ada rezeki mahu menjadi rujukan atau hab pelancongan kepada semua orang.

“Akhir sekali, kesemua pakej dan trip 2026 sudah pun dibuka untuk pendaftaran dengan harga jauh lebih murah serta servis terbaik diberikan syarikat,” noktahnya.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN