MELAKA – Suasana di Banda Hilir hari ini bertukar pilu apabila seorang kanak-kanak lelaki berusia empat tahun yang menghidap penyakit anemia fanconi dengan kegagalan sumsum tulang, menunaikan hasrat terakhirnya menaiki beca berhias.
Muhamad Affan Muhamad Haieri yang ditemani ibu dan bapanya kelihatan gembira apabila dibawa mengelilingi lokasi utama pelancongan Melaka dalam jarak perjalanan kira-kira 1 kilometer.
Bapanya, Muhamad Haieri Nizam Saari, 32, berkata, impian menaiki beca berhias menjadi satu-satunya permintaan Affan sejak melihat video pelancong beriadah di kawasan bersejarah itu di telefon bimbitnya.
“Affan memang suka benda berwarna dan gambar kartun. Bila nampak beca berhias, dia terus cakap nak naik.
“Bila hari ni tengok dia tersenyum sepanjang kayuhan, saya rasa sebak sangat sebab saya tahu tak lama lagi mungkin itu senyuman terakhir dia,” katanya ketika ditemui di Banda Hilir, semalam.
Hasrat Muhamad Affan itu direalisasikan di bawah program khas anjuran Persatuan Impian Kanak-Kanak.
Mengulas lanjut, Muhamad Haieri berkata, Affan kini menerima rawatan di Hospital Melaka perlu menjalani pemindahan darah secara berkala.
Jelasnya, penyakit genetik jarang berlaku itu menyebabkan sumsum tulang gagal menghasilkan sel darah merah, putih dan platlet secara normal, sekali gus melemahkan imun badan serta mengundang komplikasi pada organ dalaman.
“Kami sekeluarga memang sedih, penyakit yang sama ini turut meragut nyawa abangnya, Muhamad Adam Naufal, 6, yang meninggal dunia pada Jun lalu.
“Doktor dah cakap tak ada ubat yang boleh sembuhkan, saya hanya mampu jaga dia sebaik mungkin dan bersedia kalau Tuhan dah tetapkan sampai di situ saja hayat dia.
“Kalau esok Tuhan nak ambil dia, biarlah dia pergi dengan senyuman yang sama saya lihat hari ini,” katanya yang bekerja di sebuah syarikat perindustrian di Batu Berendam. – KOSMO! ONLINE