KUCHING – Seorang lelaki didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tuduhan mendera kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun hingga mati di sebuah rumah di Kampung Rampangi.
Namun, tiada pengakuan direkodkan daripada lelaki berusia 32 itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nursyaheeqa Nazwa Radzali.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa mendera hingga mati mangsa yang merupakan anak teman wanitanya kira-kira pukul 7.45 malam, 7 Oktober lalu.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati atau penjara sehingga 40 tahun dan sebatan sekiranya tidak dikenakan hukuman mati.
Mahkamah menetapkan 21 November ini untuk sebutan semula kes. Tiada jaminan ditawarkan terhadap tertuduh.
Terdahulu, polis menerima laporan pada 8 Oktober lalu daripada seorang lelaki berusia 52 tahun mengenai anak rakannya meninggal dunia pada pada pukul 9.45 malam, 7 Oktober lalu. Siasatan awal dipercayai mangsa didera hingga mati.
Suspek berjaya ditangkap di Kampung Krian, Padawan pada pukul 11 pagi, 9 Oktober lalu dan semakan mendapati lelaki itu mempunyai enam rekod kes dadah selain didapati positif dadah ketika tangkapan dibuat. – KOSMO! ONLINE