KUALA LUMPUR – Beregu campuran No.1 negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei menepati ramalan apabila meneruskan kemaraan ke pusingan kedua pada Kejohanan Badminton Terbuka Denmark di Odense.
Pada aksi pusingan pertama yang berlangsung di Jyske Bank Arena sebentar tadi, juara dunia itu menang 21-15, 21-9 ke atas beregu Taiwan, Yang Po Hsuan-Hu Ling Fang dalam tempoh 32 minit.
Turun sebagai pilihan keempat kejohanan, gandingan No.4 dunia itu bagaimanapun ketinggalan 7-10 di awal set pertama sebelum bangkit memintas kedudukan dan memastikan kemenangan 21-15.
Memasuki set kedua, Tang Jie-Ee Wei dilihat mula mendapat momentum sebenar apabila mendahului dengan kedudukan selesa 11-4 sebelum melengkapkan kemenangan bergaya 21-9.
Menjelang pusingan kedua Khamis nanti, mereka akan bertemu beregu China, Gao Jia Xuan-Wu Meng Ying yang menewaskan Phuwanat Horbanluekit-Benyapa Aimsard dari Thailand 21-12, 13-21, 21-17.
Turut melangkah ke pusingan kedua adalah beregu campuran profesional, Goh Soon Huat-Shevon Lai yang mara lebih awal selepas menyingkirkan satu lagi wakil Taiwan, Lu Ming Che-Hung En Tzu.
pasangan suami isteri itu tidak berdepan banyak masalah apabila hanya memerlukan masa 28 minit untuk mencatat kemenangan straight set 21-14, 21-17. – KOSMO! ONLINE














