fbpx
Guan Eng (tengah) ketika hadir di Mahkamah Sesyen hari ini. Foto oleh SYAKIR RADIN/KOSMO!

Guan Eng tidak telus laksana projek, ada kepentingan peribadi – Pegawai Penyiasat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Mahkamah Sesyen di sini hari ini diberitahu bekas Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng tidak telus dalam melaksanakan projek terowong dasar laut secara tender terbuka di negeri itu sejak awal.

Pegawai Penyiasat yang juga Penguasa Kanan Bahagian Siasatan Cawangan Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Zulhilmi Ramli berkata, ini kerana Guan Eng secara terus memberikan projek itu kepada syarikat Beijing Urban Contruction Group (BUCG).

“Siasatan saya menunjukkan orang kena tuduh (OKT) dari awal lagi tidak telus dalam memberikan projek ini kepada syarikat BUCG.

“Hasil siasatan pada peringkat ini menunjukkan keputusan OKT untuk melantik BUCG dilakukan secara terburu-buru dan mempunyai kepentingan peribadi,” kata saksi pendakwaan ke-38 itu.

Katanya, pada 17 Mac 2011, kerajaan negeri menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) dengan BUCG untuk menyelesaikan masalah trafik di Pulau Pinang.

Ia dibuat selepas perjumpaan antara Pengarah Consortium Zenith Construction Sdn. Bhd. (CZCSB), Datuk Zarul Ahmad Mohd. Zulkifli, 66, dengan Guan Eng pada Mac 2011.

Berdasarkan siasatan, MOU antara kerajaan negeri dan BUCG itu sebagai satu bentuk ‘direct award’ kepada BUCG untuk terlibat dalam projek yang akan dijalankan di Pulau Pinang.

Selain MOU pertama pada 17 Mac, saksi turut mendakwa terdapat satu lagi MOU dibuat pada 28 April tahun sama di mana tertuduh menandatangani MOU terbabit.

“Kandungan MOU menyatakan BUCG dijemput membuat kertas cadangan untuk kerja-kerja pembinaan jalan yang dianggarkan kos RM10 billion. Terdapat gambar yang diambil ketika majlis tandatangan MoU berlangsung,” katanya.

Pernyataan lanjut saksi turut menyatakan, berdasarkan keterangan yang beliau peroleh semasa siasatan, pada awal Mac 2011, Zarul Ahmad berjumpa dengan tertuduh di sebuah restoran di Jalan Ampang. Zarul Ahmad kemudian menghantar tertuduh ke sebuah hotel di Mid Valley.

“Dalam perjalanan pulang sekitar pukul 12 tengah malam, tertuduh mencadangkan kepada Zarul Ahmad untuk mengaturkan satu MOU antara BUCG dengan Kerajaan Pulau Pinang. Sekiranya Zarul Ahmad dapat melaksanakan majlis MOU itu, projek terowong akan diberikan kepada Zarul Ahmad secara ‘direct nego’.

“Selepas menyatakan sedemikian, tertuduh telah meminta 10 peratus daripada keuntungan projek dari Zarul Ahmad dan beliau (Zarul Ahmad) telah bersetuju dengan permintaan tertuduh untuk memberikan 10 peratus daripada keuntungan projek,” kata saksi itu lagi yan turut menyatakan projek tersebut hanyalah satu perkara untuk mengaburi mata masyarakat dan
ini lebih berbentuk ‘land scam’.

Sementara itu dalam prosiding sama, pihak pembelaan Guan Eng memohon mahkamah menggugurkan beberapa perenggan yang didakwa lebih kepada pendapat saksi semata-mata dan bukan fakta.

Perbicaraan di hadapan Hakim Azura Alwi bersambung lagi esok.

Mengikut pertuduhan pindaan pertama, Guan Eng didakwa sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang ketika itu menggunakan kedudukannya untuk menerima suapan wang berjumlah RM3.3 juta.

Ia dengan membantu syarikat milik Zarul Ahmad bagi dilantik melaksanakan Projek Pembinaan Jalan Utama dan Terowong di Pulau Pinang bernilai RM6.34 juta antara Januari 2011 hingga Ogos 2017, di Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang.

Bagi pertuduhan pindaan kedua pula, Guan Eng didakwa meminta suapan 10 peratus daripada keuntungan akan diperoleh daripada Zarul Ahmad sebagai upah, bagi membantu syarikat milik ahli perniagaan itu dilantik untuk projek sama.

Kesalahan berkenaan didakwa dilakukan berhampiran sebuah hotel, Lingkaran Syed Putra, Mid Valley City di sini antara pukul 12.30 tengah malam hingga pukul 2 pagi pada Mac 2011.

Selain itu, beliau turut berdepan dengan dua pertuduhan menyebabkan dua lot tanah milik Kerajaan Pulau Pinang bernilai RM208.8 juta, dilupuskan kepada syarikat pemaju berkaitan projek terowong dasar laut di negeri itu.

Ahli Parlimen Bagan itu didakwa melakukan kesalahan berkenaan di Pejabat Tanah dan Galian Negeri Pulau Pinang, di Bangunan Komtar pada 17 Februari 2015 dan 22 Mac 2017. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI