DUNGUN – Perjalanan pulang seorang anggota bomba ke rumah berakhir dengan tragedi pilu apabila dia maut selepas motosikal ditunggang merempuh seekor kerbau yang melintas secara tiba-tiba di Kilometer 85, Jalan Ladang Gajah Mati, di sini malam tadi.
Dalam kejadian pukul 7.25 malam itu, mangsa, Mohamad Kamil Mat Jusoh dari Balai Bomba dan Penyelamat Bandar Al Muktafi Billah Shah (AMBS) disahkan meninggal dunia akibat parah pada beberapa anggota badan.
Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Maizura Abdul Kadir berkata, ketika kejadian, Mohamad Kamil dikatakan dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Taman Selesa, AMBS di sini.
Katanya, sebelum kejadian, mangsa menghadiri program Hari Pencegahan Kebakaran peringkat Terengganu di Pasar Besar Kedai Payang, Kuala Terengganu.
“Sebaik tiba di lokasi kejadian, motosikal jenis Kawasaki Z250 SL mangsa dikatakan tidak sempat mengelak dan merempuh seekor kerbau yang melintas secara tiba-tiba. Rempuhan itu menyebabkan mangsa tercampak dari motosikalnya,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat AMBS, Mohd. Izuddin Mahmood menyifatkan pemergian Mohamad Kamil sebagai kehilangan besar buat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia. – KOSMO! ONLINE