SINSHEIM, Jerman – Pengendali Jerman, Julian Nagelsmann mengakui pasukannya masih belum sempurna walaupun berjaya melakar kemenangan 4-0 ke atas Luxembourg dalam aksi kelayakan Piala Dunia 2026, awal pagi semalam.
Pada saingan Kumpulan A itu, skuad Die Mannschaft berjaya meraih gol hasil penyudah David Raum, Serge Gnabry dan jaringan berganda, Joshua Kimmich untuk memastikan pasukan meraih enam mata selepas tiga perlawanan.
Kata Nagelsmann, apa yang dipamerkan oleh pasukan cukup berkualiti, tetapi masih ada beberapa lagi kelemahan yang perlu diperbaiki sebelum aksi getir menentang Ireland Utara, awal pagi Selasa depan.
“Saya rasa barisan pemain beraksi dengan baik tetapi pasukan masih belum sempurna kerana sepatutnya kita boleh menjaringkan lebih banyak gol. Cuma, taktikal lawan yang parkir bas menyukarkan kami untuk mencipta peluang.
“Apa yang penting, keputusan ini melonjakkan lagi semangat pasukan untuk terus memburu tiga mata berharga pada aksi seterusnya kerana hanya kemenangan yang boleh mengesahkan kemaraan pasukan ke Piala Dunia,” katanya.
Sementara itu, Gnabry bangga dengan komitmen yang dipamerkan oleh rakan sepasukan untuk mendominasi sepenuhnya lawan yang menduduki ranking ke-96 dunia.
“Kita beraksi dengan baik dan ikut corak taktikal yang diterapkan oleh barisan jurulatih. Ia bukan perlawanan yang mudah tetapi kita dapat meledak empat gol yang cukup penting,” kata bintang Bayern Munich itu. – AGENSI