fbpx
Zakiyah menunjukkan sebahagian produk buatan sendiri yang dipasarkannya menerusi medium internet.

Zakiyah guna AI perluas perniagaan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

TAPAH – Kursus-kursus jangka pendek berkaitan kecerdasan buatan (AI) anjuran Pusat Sebaran Maklumat Nasional (Nadi) Ayer Ku­ning memacu seorang usahawan membina jaringan perniagaan sehingga mampu mencatat pendapatan empat angka sebulan.

Menurut suri rumah dan ibu kepada empat zuriat, Zakiyatulmiskiyah Ahmad Zaidi, 34, yang mesra dipanggil Zakiyah, kursus berkaitan teknologi maklumat (IT) terutamanya banyak membantu dalam menguasai aspek pemasaran, pengurusan kewangan dan analisis data pelanggan secara komprehensif.

“Nadi Ayer Kuning konsisten menganjurkan pelbagai kursus jangka masa pendek secara fizikal dan dalam talian seperti rekaan melalui aplikasi Canva.

“Penekanan pendigitalan perniagaan menerusi AI ternyata membantu peluasan skop perniagaan inai, jahitan dan cenderamata buatan saya sendiri terutamanya melibatkan rekaan poster, logo produk, penyuntingan gambar dan video serta susunan ayat dalam penulisan,” katanya kepada Kosmo! di Nadi Ayer Kuning, baru-baru ini.

Menurutnya, semua kemahiran itu dipelajarinya secara percuma.

Pencapaian Zakiyah menepati pelan Perak Sejahtera 2030 di bawah niche daerah Batang Padang dengan tumpuan utama melibatkan Hab Pendidikan serta Penyelidikan dan Pembangunan (R&D).

Bantuan itu juga selaras dengan flagship kelima Perak Sejahtera 2030, iaitu Program Pembolehdayaan Modal Insan dan Pembe­lajaran Sepanjang Hayat iaitu 1 Warga 1 Skill, 1 Keluarga 1 Usahawan dan 1 DUN 1 Nadi cetusan berwawasan Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad.

Zakiyah menambah, tunjuk ajar secara konsisten oleh Pengurus Nadi Ayer Kuning, Nor Amalina Ahmad dan Penolong Pengurus, Nur Atiqah Zainudin menyebabkan dia semakin mahir dalam IT.

“Antaranya, mereka mengajar teknik simpanan data pe­langgan lengkap untuk hebahan produk melalui WhatsApp, Telegram, Facebook, Instagram, Sho­pee, TikTok dan platform X.

“Bukan itu sahaja, Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) turut ditekankan menerusi Nadi Mahir Jahit yang membantu saya menambah penawaran produk berkaitan tekstil,” katanya.

Ujarnya, sepanjang terlibat dalam dunia perniagaan lebih 15 tahun, kursus anjuran Nadi sama sekali tidak mengganggu rutinnya sebagai seorang suri rumah dan komitmen terhadap keluarga.

“Skop perniagaan kini lebih dinamik iaitu tidak bergantung pada premis dan pekerja semata-mata, asalkan ada telefon pintar, talian internet serta menguasai pelbagai medium pemasaran.

“Hasilnya, saya mampu membeli sebuah kereta Toyota Corolla terpakai berharga RM10,000 pada 2019, selain membantu me­ningkatkan taraf hidup keluarga walaupun sebagai suri rumah de­ngan tahap pendidikan setakat Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM),” katanya.

Dia menyifatkan teknologi AI sebagai alternatif terbaik bagi me­lancarkan perniagaan secara maya dan fizikal serta memenuhi kepelbagaian cita rasa pelanggan.

Dalam pada itu, Nor Amalina berkata, kini kira-kira 20 suri rumah dari komuniti setempat telah mendapat latihan secara berterusan berkaitan AI dan penguasaan perniagaan digital yang menyumbang kepada peningkatan taraf hidup keluarga masing-masing.

“Sekiranya ada program, kita akan jemput mereka yang terlibat dalam industri pertanian, produk, makanan, minuman dan perkhidmatan untuk terlibat sama membuka gerai jualan.

“Syukur pendapatan mereka bertambah dan orang kampung dan yang menetap di pedalaman kini mampu pergi jauh dengan penggunaan teknologi untuk maju ke depan,” katanya. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI