LUMUT – Lelaki yang terjatuh ke Sungai Tuntung di Pantai Remis, dekat sini petang semalam ketika mahu mencari siput ditemui lemas oleh anggota bomba kira-kira 10 meter dari lokasinya jatuh.
Pemangku Ketua Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Perak, Shazlean Mohd. Hanafiah berkata, pihaknya mengesan Mohamad Zulkifli Mat Saad, 27, dengan jarak pencarian dianggarkan satu kilometer persegi dari tempatnya terjatuh.
Beliau berkata, pada pukul 11.15 malam, operasi diteruskan setelah mendapati keadaan air telah surut.
“Operasi pencarian menggunakan dua buah bot melibatkan lapan anggota termasuk empat dari pasukan penyelamat di air yang menumpukan pada kawasan mangsa terjatuh dengan menyusuri laluan alur kecil Sungai Tuntung.
“Pencarian turut dibantu oleh lapan orang awam yang bergerak ke kawasan paya bakau melalui laluan darat,” katanya di sini, hari ini.
Shazlean berkata, pada pukul 11.30 malam, mangsa telah dijumpai di lokasi 10 meter dari tempatnya jatuh.
Beliau berkata, komander operasi mengarahkan anggota untuk membawa keluar mangsa melalui laluan darat seterusnya dibawa ke Pusat Kawalan Bomba.
“Mangsa telah disahkan meninggal dunia oleh pihak Kementerian Kesihatan yang berada di lokasi. Mangsa seterusnya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya. – KOSMO! ONLINE














