fbpx
Madam Ang (kiri) bersama anak sulungnya pada majlis sambutan hari lahir ke-103 di Bukit Jambul, malam tadi.

Madam Ang masih bertenaga, sambut ulang tahun ke-103

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

GEORGE TOWN – Siapa sangka pada usia 103 tahun, Ang Kim Choo masih bertenaga dan mempunyai semangat setia kawan yang tinggi tanpa mengira bangsa dan agama.

Bekas anggota polis semasa zaman darurat itu berkata, pemikiran positif, berkasih sayang dan bersikap lebih terbuka merupakan kunci utama dia kekal sihat hingga hari ini.

Menurut nenek 12 cucu itu, pengalaman berkhidmat sebagai konstable khas (SC) selama hampir enam tahun bermula 1 April 1954 sehingga 1 Jun 1960 mengajarnya tentang erti kehidupan sebenar.

“Sampai hari ini, saya masih berkawan dengan semua bangsa tidak kira Melayu, India dan Cina. Meskipun tidak mampu mendengar dengan jelas, tetapi saya dapat mengingat semula pengalaman terutama ketika membesarkan lima anak.

“Saya bersyukur kerana mampu menjalani kehidupan seperti biasa seperti berjalan walaupun dengan bantuan tongkat. Penglihatan juga jelas,” katanya ketika ditemui pada majlis sambutan hari lahirnya di Bukit Jambul di sini, malam tadi.

Majlis tersebut dianjurkan Pengerusi Kelab Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF), Datuk Seri Johnny Ch’ng Ewe Gee.

Kim Choo tidak menafikan amalan pemakanan sihat seperti daging dan sayur-sayuran juga menjadi faktor utama dia berjaya mengekalkan tahap kesihatannya pada tahap terbaik.

“Saya cuma ada penyakit darah tinggi. Semua masakan Melayu, Cina dan India saya makan, paling suka kuih pencuci mulut.

“Di Malaysia, kita boleh buat dan makan macam-macam. Kita perlu bersyukur kerana Malaysia aman dan rakyatnya berbilang kaum,” katanya yang pernah menjadi pembantu rumah di kediaman keluarga British.

Sementara itu, anak sulung Kim Choo, Yeoh Saw Gaik, 83 berkata, dia bertuah kerana berpeluang menyambut ulang tahun kelahiran ibunya yang ke-103.

“Ibu tinggal dengan saya di Dato Keramat. Walaupun pendengarannya kurang jelas, tapi dia masih menjaga disiplin dengan kami, anak-anak dan cucu di rumah.

“Dia banyak berkorban tenaga, mencari nafkah membesarkan anak-anak. Kami berbangga dengan pengorbanannya dan saya nekad melakukan yang terbaik buat ibu,” ujarnya. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI