PETALING JAYA – Seorang warga emas didakwa menjadi mangsa pengabaian keluarga selepas dilihat ditinggalkan bersendirian di sebuah perhentian bas berdekatan Kajang Utama, semalam.
Menerusi hantaran di Threads oleh @Allynazhrr, lelaki warga emas itu berada berdekatan sebuah perhentian bas sambil melambai-lambaikan tangannya seolah-olah sedang meminta tolong.
“Dalam perjalanan balik rumah dekat Kajang Utama tiba-tiba ternampak pak cik tua dekat ‘bus stop’ (perhentian bas) seorang diri melambai-labai tangan macam minta tolong.
“Saya tidak sampai hati jadi suruh suami pusing balik untuk tanya kenapa dia seorang diri malam-malam macam ini,” katanya.
Menurutnya, warga emas tersebut telah ‘dibuang’ oleh anaknya sendiri dipercayai kerana menantu sendiri tidak mahu memikul tanggungjawab penjagaan.
“Saya tanya pak cik itu mana anak yang lain dan dia kata anak lagi dua orang berada di Australia.
“Buang bapa sendiri masa hari raya? Kau memang tiada hati perut ke?,” tambahnya.
Rata-rata pengguna turut meluahkan rasa sedih dan kecewa melihat situasi bapa disisihkan oleh anak kandung sendiri.
“Dia lupa dunia ini berpusing. Satu hari nanti anak dia sendiri akan buang dia sama macam dia buang bapanya, cuma cepat atau lambat,” ujar @The_Queenoftheking_.
“Kalau tidak mahu jaga hantar rumah orang tua. Bayar lah bukan miskin pun kan,” jelas @Anglesyafiah pula. — KOSMO! ONLINE














