JEMPOL – Seorang warga emas lelaki maut selepas kereta yang dipandunya terbabit nahas dengan sebuah motosikal sebelum merempuh tiang lampu di Kilometer 19, Jalan Bahau-Kemayan, di sini, malam semalam.
Ketua Polis Daerah Jempol, Superintendan Norhisham Mustapar berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 8.45 malam itu, mangsa berusia 73 tahun memandu kereta jenis Perodua Bezza dari arah Sungai Lui ke Ayer Hitam, manakala penunggang motosikal jenis Suzuki Smash Revo pula lelaki berusia 69 tahun bergerak di laluan yang sama.
“Pemandu kereta telah melanggar bahagian sisi kanan belakang motosikal terbabit dan telah hilang kawalan lalu terbabas dan telah melanggar tiang lampu jalan Tenaga Nasional Berhad (TNB) di bahu jalan sebelah kiri.
“Akibat daripada kemalangan ini, pemandu kereta itu telah mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan telah disahkan meninggal dunia di tempat kejadian, manakala penunggang motosikal mengalami kecederaan ringan dan masih menerima rawatan di zon merah, wad kecemasan Hospital Jempol.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ)1987 dan siasatan lanjut masih dijalankan,” katanya kepada pemberita, di sini, hari ini.
Sehubungan itu, polis meminta agar saksi kejadian berkenaan supaya menghubungi Pegawai Penyiasat Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jempol, Inspektor Siti Nor Amiera Zohhani di talian 017-8864714 bagi membantu siasatan. – KOSMO! ONLINE














