KUALA LUMPUR – Dua pelajar perempuan berusia 14 tahun cedera selepas tercampak akibat dilanggar kereta ketika sedang melintas jalan di Jalan Sentul berhampiran sebuah sekolah menengah, di sini, 2 Oktober lalu.
Dalam kejadian sekitar pukul 11 pagi, pemandu tersebut dipercayai tidak menyedari lampu isyarat berwarna merah sebelum melanggar kedua-dua pelajar tersebut.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd. Zamzuri Mohd. Isa berkata, kemalangan membabitkan sebuah kereta jenis Toyota Vios yang dipandu seorang lelaki berusia 30 tahun.
“Mangsa mengalami kecederaan di bahagian kaki dan telah mendapatkan rawatan di hospital berhampiran.
“Pemandu tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohd. Zamzuri berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu dengan cuai sehingga menyebabkan kemalangan.
Sebelum ini, tular sebuah klip video memaparkan dua pelajar wanita tercampak akibat dilanggar sebuah kereta ketika ingin melintas jalan. – KOSMO! ONLINE