IPOH – Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Perak memohon kepada masyarakat agar memberi ruang kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan berhubung kes seorang pelajar Tingkatan Satu yang terjatuh dari bangunan di sini semalam.
JPN Perak dalam kenyataannya berkata, masyarakat juga perlulah menghormati sensitiviti pihak keluarga mangsa yang berhadapan ujian tersebut.
“JPN Perak prihatin terhadap insiden seorang murid terjatuh bangunan di sebuah sekolah di negeri ini seperti yang dilaporkan media.
“Murid berkenaan kini sedang mendapat rawatan di hospital. Semoga dia dikurniakan kesembuhan segera dan keluarga diberi kesabaran serta ketabahan dalam menghadapi ujian ini,” katanya di sini hari ini.
Dalam perkembangan berkaitan, JPN Perak berkata, kes berkenaan sedang berada dalam siasatan pihak polis dan pihaknya memberi kerjasama penuh kepada proses siasatan yang sedang berjalan.
“Pada masa sama, siasatan dalaman turut dilaksanakan bagi meneliti setiap perkara yang berkaitan.
“JPN Perak telah mengambil tindakan bagi memastikan kebajikan dan bantuan terbaik kepada keluarga murid. Sokongan psikososial turut diberi kepada warga sekolah yang terkesan,” katanya.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Perak, Datuk Khairudin Abu Hanipah dalam hantaran yang dimuat naik di laman Facebooknya semalam memaklumkan bahawa pelajar itu kini mendapat rawatan di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB).
Menurut beliau, maklumat kejadian itu diterima pada pukul 4.30 petang sebelum bergegas ke Jabatan Kecemasan HRPB – KOSMO! ONLINE














