fbpx
Anggota bomba menjalankan operasi menyelamat mangsa di Bandar Saujana Perdana, Selasa lalu. FOTO IHSAN BOMBA

Pelajar latihan industri lemas di kolam takungan air

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SUNGAI BULOH – Lelaki lemas ketika menjalankan kerja-kerja penyelenggaraan di kolam takungan air Menara Saujana Perdana 1 dan 2 di sini pada Selasa lalu disahkan merupakan pelajar latihan industri sebuah universiti awam.

Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintendan Mohd. Hafiz Muhammad Nor berkata, mangsa berusia 23 tahun itu ditemukan lemas selepas pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 11.53 pagi.

“Bedah siasat yang dijalankan di Hospital Al-Sultan Abdullah (HASA), Puncak Alam mendapati punca kematian mangsa adalah akibat lemas (drowning).

“Kertas siasatan diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR) dan siasatan lanjut masih diteruskan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau turut menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kejadian tersebut dan menyerahkan siasatan kepada pihak polis.

Tambahnya, mana-mana individu yang mempunyai maklumat berkaitan diminta menghubungi pegawai penyiasat, Sarjan Mejar Fuzi Kamazan atau hadir ke balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.

Khamis lalu, Universiti Putra Malaysia (UPM) menerusi satu hantaran di media sosial mengesahkan mangsa merupakan pelajar tahun akhir Fakulti Perhutanan dan Alam Sekitar, Muhammad Adam Danish Mohd. Anuar.

Universiti berkenaan turut merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa serta mendoakan agar Allahyarham dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang beriman.

Terdahulu, media melaporkan mangsa dipercayai tersedut ke dalam tangki air ketika melakukan kerja-kerja penyelenggaraan di sebuah kolam menara di Bandar Saujana Perdana.

Mangsa ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri di atas tangki kolam menara sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN