fbpx
Lubuk misteri itu memiliki air yang tenang.

Tilapia di lubuk misteri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Sekali-sekala, memancing ikan tilapia amat menghiburkan juga. Namun yang tidak seronoknya, lokasi memancing itu ‘lain macam’ persekitarannya.

Kisahnya bermula apabila saya mendapat satu text daripada Hafiz yang me­nyatakan dia telah menemui satu lubuk baharu dipenuhi banyak ikan tilapia bersaiz kasar. Melihat gambar ikannya, terus teruja saya dibuatnya.

Lubuk ini telah dijumpai oleh Hafiz dan Alif kira-kira sebulan lalu sewaktu mereka sedang memikat burung.

Pada awalnya, mereka tidak berani juga untuk masuk menghampiri tebing kerana takut kehadiran haiwan berbisa.

Selepas melihat dari celah-celah semak ada kelibat ikan di permukaan air, mereka mengambil keputusan meredah hutan renek itu untuk meninjau potensi lokasi tersebut dengan lebih dekat.

Ternyata di sebalik rimbunan semak itu, ada satu kawasan berair seperti kolam dan di dalamnya kelihatan kumpulan ikan tilapia bersaiz kasar.

Serangan

Lantas, satu trip diatur. Hendak masuk ke kawasan itu harus menem­puh semak samun yang meninggi hingga ke kepala.

Parang panjang membantu membuka jalan sampailah ke pinggir kawasan berair itu.

Perit juga untuk meredahnya, maklumlah ada kemung­kinan boleh terserempak haiwan berbisa.

Menghairankan, sebaik kami sampai ke lubuk, kelihatan kawasan sekitar bersih, langsung tidak bersemak.

Padahal hendak menyampai ke tempat ini, semak samun sangat tebal hingga tidak kelihatan lubuk itu jika tidak diteliti dengan bersungguh-sungguh.

Saya sudah merasa tidak sedap hati, mulut saya berasa terkunci, dan langsung tidak berkata apa-apa kepada rakan-rakan lain.

Sebaik sahaja sampai ke tapak pancing yang diinginkan, masing-ma­sing tidak menunggu lama dan terus menyiapkan peralatan pancing, memasang umpan dan terus melontarnya ke dalam air.

Pancing berpelampung

Kami menggunakan pelampung kerana tidak tahu bahagian dasar kolam ini bereba atau kosong.

Umpan cacing dipilih kerana paling mudah dicari, dan apa-apa spesies ikan air tawar sudi dengannya.

Pada mulanya, ikan tidak mahu menjamah umpan kerana tiada satu pergerakan daripada pelampung, hampir 10 minit juga kami menanti.

Tiba-tiba pelampung milik Alif mula bergerak-gerak tetapi perlahan sahaja.

Geram melihat keadaan itu Alif terus melakukan sentapan.

Alhamdulillah, rezeki memihak kepadanya apabila mata kail bersaiz 12 yang digunakannya terpacak kuat pada mulut ikan tilapia tersebut.

Saiz yang cukup menggembirakannya hingga terbayang olehnya masakan tilapia miang pla apabila balik nanti.

Pada masa sama, pelampung milik Hafiz mula tenggelam timbul. Kemudian, pelampungnya tenggelam perlahan-lahan, sebelum dia terus melakukan sentapan.

Ikan yang terkena pada mata kail itu cuba melawan, namun bukan kekuatannya melawan set pancing yang digunakan. Akhirnya, ia dapat didaratkan dan saiznya cukup kasar.

Perasaan aneh

Selepas itu, kami tiba-tiba diserang ikan tilapia dalam pelbagai saiz.

Hilai tawa daripada kami sudah tidak terkawal lagi. Kami mula leka dengan hasil yang diperolehi.

Saat inilah mula terasa sesuatu yang tidak kena, seolah-olah ada yang memerhatikan gerak geri kami.

Tidak lama selepas itu, kami tersentak dan bulu roma mula tegak berdiri. Kami mula memandang antara satu sama lain.

Tanpa berkata apa-apa, dengan gerakan tubuh saya memberi isyarat kepada mereka supaya cepat-cepat mengemas, sebelum mengajak mereka keluar.

Memandangkan kami mula memancing selepas waktu asar, suasana mulai semakin gelap ditambah pula keadaan awan yang hitam menyebabkan suasana sekitar sangat menyeramkan.

Kami terus melangkah keluar dari lubuk misteri itu. Cepat-cepat kami meredah semak samun untuk menyelamatkan diri, mujurlah tiada perkara buruk yang menimpa kami.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN