PETALING JAYA – “Saya cakap, ‘to educate the world’ (untuk mendidik dunia). Selepas dia (tentera Israel) dengar perkataan itu, dengan pandangan yang sangat sinis, dia kata, ‘welcome to jail’ (selamat datang ke penjara).”
Itulah kata-kata yang masih terngiang-ngiang di minda sukarelawan Malaysia, Heliza Helmi ketika berkongsi pengalaman ditahan rejim Zionis Israel ketika menyertai misi Global Sumud Flotilla (GSF) ke Gaza baru-baru ini.
Menurut Heliza, kejadian itu berlaku sebelum beliau dibawa masuk ke penjara Israel di Ashdod selepas kapal yang dinaikinya dipintas di perairan antarabangsa.
“Yang paling saya tak boleh nak lupakan, saya seorang diri ditangkap dan sebelum di blindfold (tutup mata), dia tanya satu soalan ‘kenapa kamu nak pergi Gaza?’. Saya pun jawab sebab nak beri bantuan,” katanya dalam sesi temu bual di Istanbul hari ini.
Namun, Heliza berkata, jawapannya itu dibalas dengan nada sinis oleh tentera Israel.
“Dia tanya lagi, bantuan apa? Saya kata bantuan makanan. Dia sindir, kenapa datang ramai-ramai nak bagi makanan?,” katanya.
Beliau berkata, pengalaman itu menjadi bukti nyata betapa tindakan kemanusiaan sekalipun dianggap satu jenayah oleh rejim Israel.
“(Tindakan) Itu yang membuatkan saya rasa adakah disebabkan kita hendak memberi bantuan kepada orang yang memerlukan makanan menyebabkan kami terpaksa pergi ke penjara,” katanya.
Heliza berkata, apa yang dialami beliau dan rakan-rakan aktivis lain hanya sekelumit kecil penderitaan yang ditanggung rakyat Palestin setiap hari.
“Itulah gambaran sebenar (keadaan) rakyat Palestin tengah harungi sekarang, mereka tidak ada dosa, mereka tidak ada salah, tapi masuk penjara, dibunuh. Benda (kekejaman) ini dunia perlu tahu sebenarnya,” katanya.
Heliza merupakan antara 23 sularelawan Malaysia yang ditahan tentera Israel sewaktu dalam misi GSF untuk menghantar bantuan makanan, ubat-ubatan dan barangan keperluan kepada penduduk Pelestin di Gaza.
Bagaimanapun, setelah hampir tiga hari ditahan rejim Zionis, kesemua wira GSF dari Malaysia berjaya dibebaskan hasil usaha diplomatik kerajaan Malaysia dengan negara sahabat.
Kini, mereka berehat sementara di Istanbul, Turkiye sebelum dibawa pulang ke tanah air dalam masa terdekat. – KOSMO! ONLINE