KUALA LUMPUR – Kerja pemasangan penghadang keselamatan termasuk ‘bridge railing’ di laluan Tapah–Cameron Highlands sedang giat dilaksanakan dan dijangka siap pada 15 Mei ini.
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, tindakan itu merupakan langkah jangka pendek susulan kejadian kemalangan di lokasi berkenaan.
“Langkah segera telah diambil termasuk pemasangan delineator string bagi meningkatkan panduan visual kepada pengguna jalan raya.
“Selain itu, guardrail, papan tanda serta lampu solar yang sebelum ini tiada juga akan dipasang,” katanya pada sidang akhbar selepas menghadiri International Conference on Slope 2026 (ICOS 2026) di Royale Chulan Kuala Lumpur, hari ini.
Beliau berkata, pelaksanaan penambahbaikan itu dibahagikan kepada tiga fasa iaitu jangka pendek, sederhana dan panjang bagi memastikan keselamatan lebih menyeluruh.
Dalam masa sama, beliau berkata kementerian turut mengeluarkan arahan kerja kepada kontraktor bagi 45 lokasi di bawah Fasa 1 penyelenggaraan.
Katanya, langkah itu membuktikan tindakan pantas Jabatan Kerja Raya (JKR) dalam menangani isu infrastruktur jalan raya di seluruh negara.
“Ini baru Fasa 1, banyak lagi arahan kerja akan dikeluarkan selepas ini,” ujarnya.
Terdahulu, tular di media sosial rakaman kamera papan pemuka (dashcam) dipercayai daripada kenderaan lain yang memaparkan kejadian tersebut, apabila kenderaan dinaiki mangsa dilihat terbabas ketika melalui selekoh tajam dan sempit di kawasan berbukit.
Bagaimanapun, kemalangan yang melibatkan sebuah kereta jenis Perodua Aruz yang meragut nyawa seorang lelaki di Batu 22, Jalan Tapah–Cameron Highlands, Pahang beberapa hari lalu disahkan tidak melibatkan sebarang pelanggaran dengan kenderaan lain. – KOSMO! ONLINE














