KUALA TERENGGANU – Perbuatan kejam seorang kelindan lori menyebabkan kematian anak angkat lelakinya tiga minggu lalu berbalas apabila dia dijatuhi hukuman penjara 18 tahun dan dua sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini.
Hakim Mohd Zul Zakiqudin Zulkifli menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh, Muhammad Firdaus Zamri, 30, mengekalkan pengakuan bersalah atas dua pertuduhan yang dihadapinya.
Berdasarkan pertuduhan pertama, pemuda itu didakwa menyebabkan kematian Muhammad Adamdanial Abdul Khafidh di sebuah rumah di Kampung Banggol Katong, di sini pada pukul 6 petang, 11 April lalu.
Muhammad Firdaus turut didakwa dengan sengaja mencederakan mangsa sama dengan rotan pada masa dan di lokasi sama.
Pendakwaan dijalankan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebatan atau mana-mana dua daripada hukuman itu jika sabit kesalahan.
Kosmo! pada 15 April lalu melaporkan seorang kanak-kanak lelaki meninggal dunia dipercayai akibat didera bapanya angkatnya. – KOSMO! ONLINE














