SEBAIK tamat alam persekolahan pada 19 tahun yang lalu, Mohamad Shah Afindi Ismail memilih mendalami bidang kemahiran atau kini lebih dikenali sebagai Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET).
Lelaki itu melihat bidang kemahiran mempunyai potensi untuknya menjadi seorang usahawan.
Oleh yang demikian, pada usia masih belasan tahun lagi pada ketika itu dia mengambil keputusan untuk mengikuti Sijil Teknologi Penyejukbekuan dan Penyaman Udara di Institut Latihan Perindustrian (ILP) di Jitra, Kedah.
“Pada mulanya, saya mengambil kursus ini bukan disebabkan minat, tetapi sekadar ingin mencuba bidang kemahiran sahaja.
“Lama-kelamaan saya jadi seronok membaiki pendingin hawa dan dari situlah minat dalam bidang ini semakin mendalam,” katanya yang kini berusia 36 tahun kepada K-Kampus.
Setelah tamat pengajian di ILP, Shah Afindi memilih untuk bekerja di sebuah pusat servis pendingin hawa kereta terlebih dahulu untuk menimba pengalaman.
Dia tidak terburu-buru untuk terus membuka perniagaan sendiri kerana baginya pengalaman bekerja akan menjadi asas penting dalam memahami selok-belok kerja, mengurus pelanggan serta mengenal pasti cabaran sebenar dunia perniagaan.
“Hampir setahun saya bekerja dengan orang lain bagi mencari pengalaman.
“Setelah yakin dengan diri sendiri saya kemudian mengambil keputusan untuk memulakan perniagaan dengan membuka sebuah bengkel membaiki pendingin hawa kereta,” jelasnya.
Berbekalkan ilmu, minat dan sedikit modal, Shah Afindi akhirnya membuka pusat servis pendingin hawa kereta di Mergong, Kedah.
Kini, dia dibantu seorang pekerja dalam menguruskan operasi harian.
Namun, dunia perniagaan tidak pernah mudah. Shah Afindi mengakui bahawa cabaran persaingan sangat sengit kerana hampir setiap kawasan kini mempunyai pusat servis pendingin hawa kereta.
Selain itu, dia perlu berdepan dengan pelanggan yang cerewet, kos operasi yang tinggi serta ketidaktentuan ekonomi yang memberi kesan kepada jumlah pendapatannya.
Shah Afindi berkata, turun naik dalam bidang perniagaan itu merupakan satu perkara biasa baginya.

“Dalam sebulan, purata hampir 40 buah kereta masuk untuk servis pendingin hawa.
“Alhamdulillah, walaupun ada bulan yang baik dan ada juga bulan yang kurang memberangsangkan, bidang kemahiran inilah yang jadi mata pencarian saya untuk menyara keluarga,” katanya penuh kesyukuran.
Tambahnya, jika dia tidak berani mencuba ‘mengambil risiko’ menimba ilmu kemahiran dahulu, mungkin dia tidak memiliki pusat servis sendiri.
Menitipkan pesan, Shah Afindi berkata, bidang kemahiran bukan sekadar pilihan kedua tetapi peluang besar jika dilakukan dengan tekun.
Dia percaya generasi muda perlu berani mencuba dan jangan takut untuk memulakan sesuatu yang baharu.
“Kalau ada peluang, jangan takut masuk bidang kemahiran, ilmu dalam bidang ini boleh jadi bekal masa depan kita.
“Jika kita ada cita-cita mahu membuka perniagaan sendiri, kita kena berani mengambil langkah pertama,” jelasnya.
Perjalanan Shah Afindi mengusahakan perniagaan sendiri membuktikan bahawa kejayaan tidak semestinya datang daripada jalan akademik semata-mata.
Bidang kemahiran juga mampu membuka pintu rezeki yang luas, malah memberi peluang untuk berdikari sebagai usahawan.
Di sebalik segala cabaran, dia tetap yakin dan percaya bahawa setiap usaha yang ikhlas pasti akan ada hasilnya.














