SEREMBAN – Seramai 35 individu telah diambil keterangan berhubung kes murid lelaki tahun empat yang ditemukan tidak sedarkan diri di sebuah sekolah di Senawang, di sini, Rabu lalu.
Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad berkata, individu berkenaan terdiri daripada murid, guru, kakitangan sekolah, doktor serta keluarga mangsa.
Malah menurutnya, pihaknya juga sedang mendapatkan beberapa laporan dan rekod daripada sekolah terbabit, forensik dan hospital.
“Dijangka dalam masa terdekat kertas siasatan akan dimajukan kepada Timbalan Pendakwa Raya. Siasatan lanjut masih dijalankan ketika ini mengikut Seksyen 507C Kanun Keseksaan berkaitan kesalahan buli,” katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Alzafny turut menasihatkan orang ramai agar tidak menyebabkan khabar angin antaranya mangsa merupakan mangsa buli mahupun sebaliknya.
“Hormati keluarga serta orang ramai dinasihatkan tidak membuat sebarang spekulasi yang tidak berasas sehingga mengganggu proses siasatan,” katanya
Rabu lalu, Kementerian Pendidikan mengesahkan maklumat tular mengenai insiden seorang murid ditemukan tidak sedarkan diri di sekolah sebelum disahkan meninggal dunia.
hasil bedah siasat pada 2 Oktober lalu mendapati punca kematian adalah disebabkan tekanan pada leher dan tiada sebarang kecederaan lain pada tubuh badan mangsa.
Alzafny berkata, setakat ini, tiada tangkapan dibuat terhadap mana-mana individu dan hanya memanggil saksi untuk diambil keterangan. – KOSMO! ONLINE