KLANG – Polis Diraja Malaysia (PDRM) bersedia menambah jumlah pegawai dan anggota bertugas pada Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 sekiranya keadaan keselamatan negara memerlukan langkah sedemikian.
Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman, Datuk Seri Azmi Abu Kassim berkata, setakat ini kira-kira 10,400 anggota termasuk pegawai akan digerakkan dalam memastikan keselamatan dan ketenteraman awam sepanjang persidangan berlangsung pada 26 hingga 28 Oktober ini.
Katanya, persidangan itu dihadiri 34 pemimpin dan delegasi termasuk Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump.
“Namun, yang pasti ia merupakan acara besar negara dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) khususnya KDNKA sangat komited memastikan ia berjalan dengan baik.
“Kita akan menilai keadaan keselamatan negara sekiranya ada keperluan untuk menambah bilangan yang bertugas itu,” katanya pada sidang akhbar selepas menyempurnakan Sambutan Peringatan Hari Ulangtahun ke-78 Pasukan Polis Marin di sini hari ini.
Kosmo! sebelum ini melaporkan empat pemimpin berpengaruh dunia termasuk Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump dan Presiden China,Xi Jinping dijangka bakal menghadiri sidang Kemuncak ASEAN ke- 47 yang dijadualkan berlangsung di Kuala Lumpur.
Mengulas mengenai isu himpunan menyokong misi Global Sumud Flotila (GSF) khususnya di hadapan Kedutaan AS selepas aktivis Malaysia ditahan rejim Zionis, Azmi percaya perhimpunan sedemikian berada di bawah ruang lingkup perhimpunan aman.
“Seperti mana berlaku semalam, Polis Kuala Lumpur telah mengambil tindakan bersesuaian untuk memastikan himpunan itu berjalan dengan baik.
“Sekiranya perkara sama berlaku lagi sehingga menjelang Sidang Kemuncak ASEAN, polis akan terus memberi komitmen agar ia dijalankan secara tertib mengikut undang-undang,” katanya.- KOSMO! ONLINE