GEORGE TOWN – Seramai 134 pegawai dan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) di seluruh negara dikenakan tindakan buang kerja atas pelbagai kesalahan tatatertib termasuklah rasuah dan mendatangkan kecederaan, tahun lalu.
Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, mereka yang berdepan hukuman itu terdiri daripada 1,429 pegawai dan anggota yang telah dikenakan tindakan sepanjang Januari hingga Disember 2025.
Menurutnya, kesalahan tertinggi adalah berkaitan tindakan amaran iaitu sebanyak 819 orang, diikuti denda (211), dilucut hak (190), ditangguh pergerakkan gaji (18), diturunkan gaji (34) dan pangkat (23).
“Pelbagai kesalahan yang telah direkodkan, ada yang salah laku jenayah, rasuah, pemerasan, mendatangkan kecederaan dan dadah.
“Kalau ikut kita ada lebih kurang 130,000 pegawai dan anggota tapi yang dikenakan tindakan tatatertib adalah satu peratus. Walaupun angkanya kecil, impaknya adalah besar.
“Yang kecil inilah akan mencemarkan imej pasukan ataupun yang kecil inilah akan mencemar kejayaan-kejayaan yang kita telah buat. Disebabkan itu saya tekankan bahawa kita memang akan mengambil tindakan tegas, tidak berkompromi terhadap sebarang salah laku pegawai ataupun anggota polis,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas hadir merasmikan forum perdana anjuran Penang Crime Consciousness and Public Safety Society (CCPSS) di sini, hari ini.
Dalam pada itu, beliau memberitahu, pasukan PDRM juga perlu menangani isu-isu berkaitan integriti secara tuntas agar tidak mendatangkan kemudaratan di kemudian hari.
“Paling penting adalah amanah. Di mana saja kita berada, kita ada memegang amanah. Kalau kita tak betul memegang amanah maka kita akan hancur.
“Tanggungjawab itu besar khususnya mereka yang memegang pangkat-pangkat besar, bintang-bintang banyak dekat atas bawah, keris-keris bersilang. Ini lagi besar amanahnya,” ujarnya.
Dalam konteks pencegahan kesalahan masyarakat pula jelasnya, ia sememangnya bermula daripada kesedaran.
“Kesedaran ini pula bermula daripada integriti. Masyarakat yang peka dan berpengetahuan akan menjadi barisan hadapan dalam menentang jenayah,” tambahnya.-KOSMO! ONLINE.














