KLANG – Pernikahan Diraja antara Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah dan Cik Afzaa Fadini Abdul Aziz diraikan peniaga tempatan dengan tawaran harga istimewa kepada penduduk sekitar.
Seorang pemilik kedai jam di Jalan Stesen, Cheah Kum Kuam, 67, berkata, dia menurunkan harga jualan sebagai tanda sokongan terhadap majlis bersejarah itu.
Katanya, kedainya itu merupakan legasi bapanya yang telah dibuka sejak 68 tahun lalu.
“Hari ini saya jual lebih murah daripada biasa kerana mahu berkongsi kegembiraan dengan rakyat.
“Suasana memang meriah, macam pesta. Tambahan memang setiap kali ada perayaan, saya memang menawarkan harga promosi asalkan kita gembira ,” katanya.
Dia berasal dari Kampung Jawa memaklumkan majlis berkenaan menjadi simbol kesinambungan institusi diraja Selangor.
“Raja Muda Selangor merupakan generasi baharu yang dekat dengan rakyat. Baginda sering menyokong masyarakat, termasuk dalam sektor pendidikan, belia dan sukan,” ujarnya.
Sementara itu, pemilik kedai aksesori pakaian, Ravin, 43, memaklumkan mengakui teruja menyaksikan perarakan istiadat Pernikahan Diraja yang julung kali diadakan itu.
Justeru, dia berharap pernikahan Diraja itu membawa keberkatan dan kesejahteraan berpanjangan kepada pasangan diraja serta rakyat negeri.
“Bangunan cantik, jalan pun elok, memang nampak bersedia menyambut majlis ini.
“Semoga baginda dan pasangannya panjang umur, dimurahkan rezeki dan terus menjaga rakyat,” katanya.
Terdahulu Kosmo! melaporkan suasana penuh meriah menyelubungi bandar diraja ini apabila lebih 2,000 rakyat membanjiri laluan utama menyaksikan Perarakan Istiadat Pernikahan Diraja Tengku Amir Shah.
Perarakan sejauh kira-kira 650 meter dari Galeri Diraja Sultan Abdul Aziz ke Istana Alam Shah itu menyaksikan keberangkatan tiba Tengku Amir Shah menaiki kenderaan istana jenis Rolls Royce dan disediakan dengan iringan kerabat Diraja selain Rejimen ke-25 Askar Melayu Diraja sebagai jejawat serta paluan kompang oleh kumpulan Istana Diraja Selangor. – KOSMO! ONLINE