PETALING JAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menggesa supaya semua aktivis dan sukarelawan Malaysia serta antarabangsa yang terbabit dalam konvoi Global Sumud Flotilla dibebaskan segera selepas rejim Zionis Israel memintas misi kemanusiaan itu.
Menurut beliau, flotila berkenaan bukan sekadar membawa bantuan kepada rakyat Gaza yang terpaksa hidup di bawah sekatan zalim, tetapi juga simbol perpaduan, solidariti dan kasih sayang umat manusia.
“Dengan menyekat misi kemanusiaan ini, Israel bukan sahaja memperlekeh hak asasi rakyat Palestin, malah menginjak nurani masyarakat dunia yang kini menolak tindakan mereka,” katanya dalam satu hantaran terkini Facebook hari ini.
Beliau berkata, Malaysia akan mengambil segala langkah sah dan berasaskan undang-undang bagi menuntut pertanggungjawaban Israel, khususnya apabila melibatkan keselamatan warganegara negara ini.
“Keselamatan rakyat Malaysia menjadi keutamaan dan kita tidak akan bungkam tatkala hak dan maruah mereka dicabuli,” katanya.
Tambahnya, selagi hak dan aspirasi rakyat Palestin terus dinafikan, Malaysia kekal berdiri teguh dan tidak akan berundur daripada mendesak agar kezaliman yang berlarutan sejak sekian lama dihentikan. – KOSMO! ONLINE