PONTIAN – Seorang ibu tunggal merayu pertolongan orang ramai bagi mengesan anak angkat yang didakwa lari meninggalkan rumah keluarganya pada waktu awal pagi, Isnin lalu.
Hashimah Hashim, 53, dia tidak mengetahui mengapa anak angkatnya, Nurul Sakinah, 18, tahun tiba-tiba keluar dari rumah ketika semua ahli keluarga sedang tidur melalui pintu dapur pada pukul 3 pagi.
“Saya mengambil Sakinah daripada ibunya ketika berusia tujuh bulan dan menjaganya seperti anak sendiri dan tinggal bersama enam lagi anak saya.
“Dia tak sekolah disebabkan tak ada dokumen diri yang lengkap dan sebelum ini kalau dia keluar rumah, dia tak pergi jauh pun.
“Tapi kali ini, telefon pun tak boleh dihubungi mungkin dia sekat nombor telefon saya, saya bimbang, pulanglah Sakinah,” rayunya ketika ditemui di rumahnya di Lorong Yunos, Kampung Sungai Darat, Serkat, di sini, hari ini.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Pontian, Supritendan Mohammad Shofee Tayib berkata, keluarga Orang Hilang (OH) telah membuat laporan kehilangan Nurul Sakinah Abdullah di Balai Polis Permas pada pagi kejadian tersebut.
“Ciri-ciri remaja hilang itu sepertimana dalam laporan polis yang dibuat mempunyai ketinggian 156 cm, berambut panjang paras bahu, berbadan sederhana, anggota badan kulit cerah dan hidung mancung,” katanya.
Sekiranya orang ramai yang ternampak orang hilang (OH), boleh menghubungi Sub Inspektor ( S/Insp ) Faridah Hassan, Ketua Balai Polis Permas melalui talian 013-7311232 atau talian hotline 07-6869999 atau mana-mana balai polis berhampiran. – KOSMO! ONLINE