PETALING JAYA – Hilang punca, pelakon Kamal Adli mengakui berdepan fasa kesunyian dan kekosongan jiwa yang dahsyat sehingga meminta pandangan orang ramai tentang cara terbaik yang harus diambil bagi mengatasi masalah kejiwaan yang dihadapi.
Ujar Kamal atau nama sebenarnya Ahmad Kamal Ahmad Adli, 40, perasaan tersebut hadir secara tiba-tiba walaupun pada zahirnya kehidupan dilalui kelihatan serba lengkap.
“Tiba-tiba diserang rasa sunyi dan keseorangan yang sangat dahsyat. Rasa macam dah ada semua benda yang boleh menggembirakan, tetapi hakikatnya kosong sangat.
“Selain muhasabah diri dan mendekatkan diri kepada Allah, apa lagi yang kita boleh buat? Korang selalu buat apa?
“Tadi dah menunggang motosikal seorang diri, tetapi tetap rasa kosong. Ada idea? Ustaz? Motivator? Rakyat? Ini bukan minta simpati tau, cuma nak pendapat,” tulisnya dalam Threads.
Perkongsian duda satu anak itu pantas mengundang perhatian netizen termasuk rakan-rakan artis yang tampil menitipkan kata semangat serta nasihat supaya terus kuat menempuh ujian hidup.
Antara terawal memberi respons ialah pelakon Datuk Fauziah Nawi yang berkongsi cara mengisi masa dengan aktiviti bermanfaat.
“Ibu penuhkan masa dengan kelas agama, baca al-Quran dan berdamai dengan takdir,” tulisnya.
Pelawak Saiful Apek pula mengingatkan Kamal bahawa rasa kosong bukan lambang kelemahan, sebaliknya petanda jiwa memerlukan ruang untuk kembali bangkit.
“Rasa kosong dan sunyi ialah isyarat jiwa yang keletihan. Itu bukan tanda kelemahan, sebaliknya ruang untuk kita berehat sebelum membina semula kekuatan.
“Kalaulah kita tahu betapa Allah menyayangi kita, seluas lautan pun tidak mampu menampung air mata kita,” ujarnya.
Rata-rata netizen pula berkongsi pengalaman berdepan situasi sama selain mendoakan agar Kamal terus tabah menghadapi episod kehidupan yang sedang dilaluinya.
Terdahulu, Kamal dan pelakon Uqasha Senrose mendirikan rumah tangga pada November 2021 sebelum dikurniakan seorang cahaya mata perempuan, Hawra Uqaira, kini berusia dua tahun.
Pasangan terbabit bagaimanapun sah bercerai talak satu pada 12 Januari 2026. – KOSMO! ONLINE.














