fbpx
WILLIE (dua dari kanan) dan Mohd. Ali (dua dari kiri) pada majlis pemeteraian MoU antara koperasi Malaysia dengan rakan strategik dari Thailand dan Jepun di Bangi semalam. –MOHD.FARIDZWAN

ICC 2025 perkukuh peranan belia dalam koperasi serantau

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

BANGI – Penglibatan golongan belia amat penting dalam memastikan kelangsungan dan transformasi sektor koperasi di Malaysia serta seluruh rantau ASEAN.

Ahli Lembaga Pengarah Institut Koperasi Malaysia (IKMa), Datuk Willie Anak Mongin berkata jumlah belia yang terlibat aktif dalam koperasi masih rendah iaitu kurang daripada 100,000 orang.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Puncak Borneo berkata, perkembangan tersebut boleh menjejaskan kesinambungan kepimpinan koperasi pada masa depan.

“Jika kita tidak memberi galakan dan dorongan, perkembangan sektor koperasi boleh terbantut. Belia perlu melihat koperasi sebagai platform untuk menceburi perniagaan dan melatih diri dengan kemahiran kepimpinan.

“Saya menyeru kepada belia-belia agar mereka mempunyai ke­sedaran menggunakan platform koperasi sebagai asas untuk memperkasakan perniagaan,” katanya pada sidang akhbar selepas perasmian Persidangan Koperasi Antarabangsa (ICC) 2025 di sini semalam.

Selain itu, Willie turut menekankan komitmen kerajaan melalui pelbagai inisiatif termasuk Dasar Keusahawanan Nasional 2030 dan Rancangan Malaysia Ke-13 selain program seperti Protégé dan Tunas Usahawan Belia Bumiputera (TUBE).

Beliau berkata kesemua program tersebut bagi memperkasakan belia dengan kemahiran, pembiayaan, serta pendedahan kepada transformasi digital dan isu kelestarian.

Jelasnya, ICC 2025 yang menghimpunkan lebih 200 peserta dari tujuh negara berjaya mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai hab koperasi serantau, selain menyaksikan pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) antara koperasi Malaysia dengan rakan strategik dari Thailand dan Jepun.

“Koperasi tidak semestinya mendominasi carta ekonomi, namun ia menjadi kenderaan pen­ting bagi pertumbuhan inklusif dan pembangunan mampan.

“Kita menyeru belia agar menggunakan platform koperasi sebagai pemangkin untuk mencapai hasrat Kerajaan Madani 2030,” ujarnya.

ICC 2025 dianjurkan IKMa dengan kerjasama Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (Kuskop) dengan bertemakan ‘Youth for Cooperative Future’.

Persidangan itu menghimpunkan penggubal dasar, pemimpin koperasi, ahli akademik dan wakil belia dari seluruh ASEAN dan luar rantau.

Dalam pada itu, Ketua Pengarah IKMa, Datuk Mohd. Ali Mansor berkata, koperasi yang membuka ruang kepimpinan kepada belia lebih berdaya inovasi dan mampu menangani cabaran global terma­suk perubahan iklim serta transformasi digital.

Beliau turut mendedahkan pertumbuhan pesat koperasi belia di Malaysia dengan 207 koperasi melibatkan hampir 88,000 ahli mencatat peningkatan hasil lebih empat kali ganda dalam lima tahun, daripada AS$3.5 juta (RM14,745,500) pada 2019 kepada AS$114.3 juta (RM481,603,050) pada 2024.

“Walaupun sumbangan koperasi belia masih kecil berbanding pendapatan keseluruhan sektor koperasi bernilai AS$16.3 bilion (RM (RM68.65 bilion), trend ini jelas membuktikan penglibatan belia bukan lagi pilihan tetapi suatu keperluan strategik,” ujarnya. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN