PRESIDEN Liga Bola Sepak Malaysia (MFL), Datuk Ab Ghani Hassan hampir pasti menyandang jawatan Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) jika cadangan pindaan statut pada Kongres Luar Biasa (EGM) badan induk itu Khamis ini, diluluskan.
Setiausaha Agung AFC, Datuk Seri Windsor Paul John berkata, antara perubahan utama yang dicadangkan ialah pengurangan jumlah Ahli Jawatankuasa Eksekutif (Exco) FAM daripada 17 kepada 11 orang.
Kata Windsor, jawatan Timbalan Presiden FAM dimansuhkan, manakala jumlah kerusi Naib Presiden pula dikurangkan kepada tiga dengan salah satu individu yang mengisi posisi itu adalah daripada MFL.
Selain itu, pihak AFC juga mencadangkan untuk memberi slot Exco kepada wakil kelab, wanita dan kumpulan pakar untuk terlibat secara langsung dalam proses membuat keputusan di FAM pada masa depan.
“Bagi Naib Presiden, dua daripadanya akan diberikan kepada FAM dan satu slot kepada MFL.
“Kita juga turut menstruktur semula komposisi Exco dengan memberi perwakilan kepada persatuan negeri, kelab serta kumpulan pakar yang terdiri daripada jurulatih, pengadil dan pemain menjadikan keseluruhan Exco seramai 11 orang.
“Untuk dicalonkan ke mana-mana jawatan, calon juga perlu berumur bawah 70 tahun pada hari pengundian.
“Serta melepasi semua tapisan latar belakang termasuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Insolvensi,” katanya.
Sekiranya diluluskan, draf cadangan AFC ini sekali gus menyaksikan Ab Ghani bakal dipilih secara automatik diberikan kepada Ab Ghani yang sudah menjadi Presiden MFL sejak 2021. – KOSMO! ONLINE














