PETALING JAYA – Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) mengenakan hukuman denda RM50,000 terhadap Kuala Lumpur City dan kemenangan percuma 3-0 kepada Negeri Sembilan FC (NSFC) susulan kegagalan skuad Warga Kota menghantar pasukan pada aksi Liga Super, Sabtu lalu.
Kedua-dua pasukan sepatutnya beraksi di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, sebelum dibatalkan atas alasan penularan wabak influenza dalam kalangan pasukan.
KL City turut dikehendaki membayar semua ganti rugi serta kos berkaitan yang diputuskan oleh MFL.
Menurut kenyataan sebentar tadi, pihak MFL sudah meneliti semua dokumen, laporan dan maklumat yang dikemukakan pihak berkaitan, termasuk laporan perubatan daripada hospital kerajaan bertarikh 24 Ogos (semalam) yang dikemukakan oleh KL City.
“Setelah mengambil kira keseluruhan fakta dan dokumen yang dikemukakan serta peruntukan di bawah Peraturan Pertandingan Liga Malaysia dan ‘Constitution of the Malaysian Football League’, Ahli Lembaga Pengarah mendapati KL City gagal menguruskan urusan pendaftaran pemain lebih awal hingga menyebabkan gagal menyediakan pasukan lengkap untuk beraksi menentang NSFC.
“Semakan menerusi sistem MyPAS, Sabtu lalu, kami mendapati KL City hanya mendaftarkan 12 pemain sahaja iaitu 11 pemain dan seorang penjaga gol.
“Sehubungan itu, KL City jelas melanggar Artikel 4.5.7 (i) Peraturan Pertandingan, Manual Liga Malaysia 2026-2027: Bagi semua kelab Liga Malaysia hendaklah mendaftar maksimum 20 dan minimum 15 pemain termasuk minimum dua penjaga gol dalam ‘Team List’ serta Pekeliling Liga Malaysia berkenaan syarat-syarat pendaftaran pegawai dan pemain Liga Super 2026-2027 yang diedarkan kepada semua kelab pada 29 Jun 2026: Semua kelab hendaklah mendaftarkan minimum 20 orang pemain termasuk tiga penjaga gol pada atau sebelum perlawanan pertama Liga Malaysia 2026 – 2027.
“Selain itu, KL City juga tidak mematuhi Artikel 3.1.3 Peraturan Organisasi Teknikal Perlawanan (OTP): Kelab hendaklah melengkapkan Team Selection List dengan 20 pemain iaitu, pemain kesebelasan utama, pemain simpanan termasuk ketua kelab serta 10 orang pegawai di bangku simpanan.
“Unit Pelesenan Kelab MFL dan First Instance Body (FIB) sudah berulang kali mengeluarkan peringatan kepada KL City untuk menyelesaikan denda yang telah dikenakan oleh FIFA sehingga mendapat Perintah Larangan Pendaftaran Pemain Antarabangsa.
“Namun, KL City dilihat gagal bertindak proaktif dalam menyelesaikan kes berkenaan yang akhirnya memberi kesan kepada urusan pendaftaran pemain kelab itu musim ini.
“Justeru, Ahli Lembaga Pengarah MFL memutuskan bahawa Negeri Sembilan FC diberikan kemenangan 3-0 serta mendapat tiga mata di atas kegagalan KL City yang tidak turun beraksi pada perlawanan pertama Liga Super,” kata kenyataan MFL. – KOSMO! ONLINE














