PUTRAJAYA – Kementerian Pengangkutan (MOT) akan memperkenalkan mekanisme agihan program Budi Madani RON95 (Budi95) khusus bagi warga Malaysia yang mempunyai lesen memandu negara jiran terutama di Singapura.
Menterinya, Anthony Loke berkata, perkara itu telah dibangkitkan kepada Jemaah Menteri dan pembangunan sistem bagi mekanisme itu akan diperkenalkan kelak.
Beliau berkata, buat masa ini, warganegara Malaysia yang bekerja di Singapura tetapi menggunakan lesen memandu Singapura tidak tersenarai sebagai penerima Budi95.
“Di bawah undang-undang Malaysia dan Singapura, seseorang individu tidak dibenarkan memiliki dua lesen memandu aktif serentak.
“Oleh itu, ramai rakyat Malaysia yang bekerja di Singapura khususnya sebagai pemandu bas, lori, treler atau teksi terpaksa menyerahkan lesen memandu Malaysia mereka untuk menukar kepada lesen memandu Singapura bagi membolehkan mereka memperoleh pemegang lesen memandu vokasional di negara itu.
“Walaupun mereka warganegara Malaysia, sistem semasa tidak dapat mengesahkan kelayakan mereka untuk subsidi kerana data lesen Singapura tidak diintegrasikan dengan sistem Jabatan Pengangkutan Jalan,” katanya pada sidang akhbar di sini, hari ini.
Katanya, Singapura tidak boleh berkongsi data tersebut atas sebab Akta Perlindungan Data dan bidang kuasa undang-undang yang berbeza.
Namun, katanya, kerajaan mengakui golongan ini sebagai warganegara Malaysia yang layak menerima subsidi kerana mereka tinggal di Malaysia, memiliki kenderaan berdaftar di Malaysia, dan membayar cukai di Malaysia. – KOSMO! ONLINE