PETALING JAYA – “Kapal kami sangat banyak susu formula. Benda pertama saya nak buat apabila tiba adalah bancuh susu dan suapkan untuk bayi yang sedang kelaparan di Gaza,”.
Demikianlah luahan Pengasas Cinta Salam Malaysia (CSM), Ahmad Musa Al-Nuwayri Kamaruzaman yang merupakan salah seorang sukarelawan Global Sumud Flotilla (GSF) ke Gaza.
Selain itu Ahmad Musa berkata dia akan menggunakan kepakarannya yang mahir berbahasa Arab apabila tiba di Gaza.
“Saya juga boleh berbahasa arab, apabila sampai sahaja saya nak beritahu pada rakyat Gaza, walau Malaysia jauh, kita semua peduli tentang saudara kita di Gaza,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.
Ahmad Musa yang menaiki kapal ALMA dalam misi kemanusiaan itu juga berkata kapalnya telah pun memasuki zon kuning kira-kira pukul 9 malam (waktu Malaysia).
Beliau berkata zon kuning adalah kawasan berjaga-jaga dengan tahap ancaman yang lebih tinggi.
“Zon kuning adalah zon berjaga-jaga. Tahap ancaman juga lebih tinggi dari mana-mana pihak yang mahu sabotaj,” jelasnya.
Beliau berkata, semua peserta sudah bersiap siaga menghadapi sebarang kemungkinan, termasuk memastikan kasut diletakkan di tepi sebelum tidur agar mudah dipakai, selain beg kecemasan atau ‘grab bag’ sentiasa berada di tangan.
“Dalam ‘grab bag’ itu ada dokumen penting seperti pasport, makanan ringan seperti bar tenaga, serta ubat-ubatan.
“Dari sudut latihan juga akan lebih kerap dilakukan. Night watch (pemerhatian malam) pula kekal tiga orang setakat ini,” katanya.
Menurut Ahmad Musa, bekalan makanan di atas kapal mencukupi, namun perasaan bercampur baur sedang dirasai oleh kesemua peserta.
“Macam-macam perasaan ada, teruja, tak sabar, risau pun ada juga,” ujarnya sambil menzahirkan doa agar misi ini selamat tiba ke bumi Gaza pada Khamis ini.
Ahmad Musa merupakan salah seorang 34 sukarelawan Malaysia yang menyertai misi kemanusiaan GSF ke Gaza bagi menyalurkan bantuan seperti makanan dan ubat-ubatan.
Sebelum ini beberapa kapal pelayaran misi tersebut dilaporkan rosak akibat serangan dron oleh rejim Zionis.
Bagaimanapun, kesemua penumpang dilaporkan selamat dan tiada kecederaan berlaku sepanjang tempoh pelayaran tersebut. – KOSMO! ONLINE