KLANG – Taktik penyeludupan 370 guni bijih timah bernilai RM2.65 juta dengan memalsukan borang ikar terbongkar apabila dirampas di dalam sebuah gudang di Pulau Indah di sini, baru-baru ini.
Modus operandi itu berjaya dikesan pada 10 Ogos lalu hasil maklumat Pasukan Medan Tempur Operasi Kastam (COBRA).
Pengarah Kastam Selangor, Mohamad Azhar Ahmad Paharazi berkata, hasil pemeriksaan mendapati kesemua guni berada di atas pallet kayu dalam gudang itu.
Katanya, bijih timah itu dipercayai dibawa masuk dari sebuah negara jiran.
“Pengurus operasi gudang telah mengemukakan borang Kastam. Namun, semakan sistem sijil maklumat Kastam mendapati nombor dokumen itu tiada.
“Kita percayai bijih timah itu dibawa masuk bagi pemprosesan kepada jongkong sebelum dieksport ke luar negara,” katanya pada sidang akhbar hari ini.
Jelas beliau, ini merupakan kes kedua pada tahun ini dengan sebelum ini melibatkan rampasan 240 guni bijih timah pada Julai lalu apabila dokumen dimanipulasi melalui ‘advance’ borang ikrar pada bulan Ogos.
Dalam perkembangan berlainan, Mohamad Azhar memaklumkan 654 unit mangkuk tandas dan 1,600 unit singki dirampas apabila dipercayai diimport tanpa sijil kelulusan.
Tambah, kejayaan itu hasil pemeriksaan terhadap dua buah kontena di kawasan Zon Bebas Pelabuhan Utara.
“Barang dagangan itu dipercayai dari sebuah negara di Asia dengan diikrar sebagai penutup tandas duduk dan kabinet bilik mandi. Nilai rampasan termasuk cukai berjumlah RM1.17 juta,” katanya.
Kedua-dua kes disiasat mengikut Seksyen 135 (1) (a) dan Seksyen 133 (1) (c) Akta Kastam 1967. – KOSMO! ONLINE