PETALING JAYA – Tindakan dua kanak-kanak dipercayai warga asing yang didakwa mendesak orang ramai supaya menghulurkan wang sedekah dalam jumlah lebih besar menimbulkan rasa bengang dalam kalangan masyarakat.
Menerusi satu hantaran di media sosial oleh @midnight.paws23, kejadian itu memaparkan kanak-kanak terbabit mengekori dan mengasak seorang lelaki yang baru sahaja memberikan wang sebanyak RM10, namun mereka tetap tidak berpuas hati dan terus meminta-minta.
“Sebab itu jangan beri duit dekat mereka. Tengok ini, abang itu dah beri RM10 tadi, tapi budak-budak ini masih lagi mendesak,” katanya.
Meninjau ke ruangan komen, rata-rata pengguna tidak berpuas hati terhadap taktik golongan peminta sedekah warga asing ini yang didakwa semakin agresif sehingga mengganggu ketenteraman orang awam.
Seorang pengguna, @Shvvkri, berkongsi pengalaman yang sama apabila didatangi golongan peminta sedekah ini, namun keadaan menjadi lebih teruk apabila kumpulan itu memanggil rakan-rakan mereka untuk meminta wang daripadanya
“Waktu melepak, kawan saya beri RM50 dekat mereka. Selepas lima minit, dia suruh ‘kaum’ dia datang meja dan minta ramai-ramai. Kalau tak beri mereka akan merayu sampai kita rasa tertekan,” ujarnya.
“Jangan beri duit dan jangan kasihan dekat mereka itu. Kadang mereka lagi banyak duit daripada yang beri sedekah itu,” kata pula pengguna Ifrdhmzmr.
Orang ramai menggesa pihak berkuasa untuk memantau kawasan tumpuan ramai bagi memastikan aktiviti meminta sedekah oleh warga asing dapat diselesaikan. – KOSMO! ONLINE














