PETALING JAYA – “Topi timbul, kemudian kasut. Waktu itu saya yakin arwah memang ada di bawah,” demikian kata Muhammad Arsyad Jahaya, individu yang nekad turun ke dalam lubang kumbahan di sebuah sekolah kebangsaan di Lenggeng, Nilai bagi mengeluarkan seorang murid yang terjatuh kelmarin.
Muhammad Arsyad, 35, yang juga seorang juruteknik berkata, dia ke sekolah itu untuk menyaksikan acara sukan disertai anaknya sebelum dimaklumkan guru terdapat murid terjatuh ke dalam lubang kumbahan sedalam kira-kira 1.8 meter.
“Cikgu Syafiq tanya saya, ‘hang (kamu) pandai berenang tak?’ Bila dia cakap ada murid jatuh, saya terkejut sebab air nampak tenang. Saya tanya berkali-kali untuk kepastian dan cikgu sahkan memang ada saksi nampak.
“Masa itu ada orang cakap tunggu bomba, tapi saya fikir kenapa perlu tunggu sedangkan saya boleh bertindak lebih awal, saya akan rasa bersalah,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.
Menurutnya, meskipun ada individu di lokasi kejadian cuba menghalangnya kerana tiada peralatan keselamatan, dia tetap tekad untuk turun sendiri.
Katanya, ketika berpaut pada penapis longkang, paras air sudah mencecah leher dan kakinya belum menyentuh dasar sehingga terpaksa meminta kayu daripada yang lain untuk mengukur paras kedalaman.
“Waktu saya kacau air dengan kayu, tiba-tiba timbul topi. Saya hulurkan ke atas dan orang menjerit, ‘itu topi budak tu!’. Tak lama itu, sebelah kasut pula timbul.
“Dari situ saya yakin mangsa memang ada di bawah. Air gelap, kotor, berbau gas, tapi saya tak fikir apa-apa. Saya terus menyelam dan cuba paut lengannya di bahagian ketiak untuk tarik naik,” katanya.
Muhammad Arshad berkata, dia menolak mangsa ke permukaan terlebih dahulu sebelum naik semula dan keadaan kanak-kanak itu sudah lembik.
Lebih mengharukan, Muhammad Arshad mendedahkan dirinya masih dalam tempoh pemulihan selepas kemalangan pada 25 Ogos lalu yang menyebabkan tisu lembut di rusuknya koyak.
“Doktor pesan jangan angkat berat, jangan lasak. Tapi saya sendiri tak tahu macam mana saya boleh buat semua itu.
“Ketika di bawah, saya rasa macam ada yang bantu saya. Rasa terang, tak ada rasa takut langsung. Masa angkat mayat mangsa pun rasa sangat ringan, macam angkat sekeping kertas,” katanya.
Sementara itu, di Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Abdul Malik Hasim berkata, seramai lapan individu sudah dipanggil bagi membantu siasatan berhubung tragedi seorang murid lelaki berusia sembilan tahun yang maut selepas terjatuh ke dalam lubang kumbahan di Lenggeng, kelmarin.
Katanya, setakat ini siasatan masih diteruskan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 (Akta 611).
Kosmo! semalam melaporkan Khairol Rizal Mustafar, 42, tidak dapat melupakan pertanyaan anak lelaki tunggalnya, Abdul FatTah, 9, yang maut selepas terjatuh dalam lubang kumbahan mengenai syurga selepas kematian.
Katanya, dia segera mengiyakan pertanyaan anak kedua dari empat beradik berusia empat hingga 11 tahun itu, namun menasihati anaknya untuk tidak berfikir mengenai kematian di waktu kecil itu.