SAUDARA PENGARANG,
BELUM sempat Monsun Timur Laut (MTL) bermula, sebahagian struktur Jalan Mengabang Telipot-Batu Rakit, Kuala Nerus yang sedang dalam pembinaan tiba-tiba runtuh akibat hakisan pantai pada 24 September lalu.
Sudah pasti, kami penduduk setempat kecewa kerana projek baik pulih laluan utama penduduk yang rosak teruk juga akibat hakisan pantai pada Januari lalu tersebut telah ditunggu-tunggu sekian lama.
Sepatutnya projek yang sudah siap 99 peratus tersebut boleh dilalui menjelang bulan depan.
Tambah mengecewakan, pembinaannya sebelum ini pernah dicanang mengguna pakai kejuruteraan terkini yang didakwa mampu menyerap tekanan ombak ganas pada musim tengkujuh.
Apapun, runtuhan ini juga seakan-akan memberi isyarat ombak lebih ganas bakal membadai pesisir pantai Batu Rakit dan sekitar sebaik tibanya MTL pada hujung bulan depan.
Harapan kami pihak bertanggungjawab dapat membantu meredakan keresahan kami untuk menghadapi bencana alam yang bakal tiba tidak lama lagi tersebut.
Sebaiknya bersama-sama merangka mekanisme untuk mengurangkan impak kemusnahan hakisan pantai pada musim tengkujuh kelak, bukannya asyik bermain politik dengan menuding jari menyalahkan satu sama lain yang akhirnya, rakyat menjadi mangsa.
MUS
Batu Rakit















