SEPANG – Kerajaan memberi jaminan keselamatan 34 rakyat Malaysia yang menyertai misi Global Sumud Flotilla ke Gaza akan sentiasa dipantau rapi, kata Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil.
Katanya, dalam tempoh beberapa hari, kebanyakan daripada 47 buah bot itu, dijangka memasuki zon kuning berhampiran perairan Gaza yang berisiko tinggi berdepan gangguan tentera Israel.
“Berdasarkan sejarah, semua bot yang cuba masuk ke Gaza sebelum ini diganggu dan akhirnya berlaku interception (pintasan) dalam zon merah.
“Sebelum ini, sudah berlaku insiden di kapal Alma dan beberapa insiden lain. Jadi kali ini, kita menjangka gangguan boleh berlaku lebih awal di zon kuning,” katanya ketika dijumpai di Sumud Nusantara Command Centre (SNCC), Sepang, hari ini.
Menurutnya, pihak kerajaan melalui Wisma Putra akan mengemas kini maklumat dari semasa ke semasa kepada keluarga serta media mengenai keselamatan peserta misi tersebut.
Dalam pada itu, Fahmi berkata, Perdana Menteri turut merakamkan penghargaan kepada Itali dan Sepanyol yang menghantar kapal pesisir bagi mengiringi misi kemanusiaan itu.
“Kehadiran dua kapal daripada negara yang sebelum ini sekutu Israel, tetapi kini mengiktiraf Palestin, adalah petanda penting bahawa pandangan dunia telah berubah.
“Dunia kini tidak lagi berdiam diri dan membenarkan negara haram Israel dengan rejim zionisnya melakukan apa sahaja yang mereka mahukan. Ini detik bersejarah untuk bersama-sama menuntut keadilan Palestin,” katanya.- KOSMO! ONLINE