SHAH ALAM – Kamera perangkap had laju dicadangkan supaya dipasang di laluan menuju plaza tol susulan kes kemalangan maut di Plaza Tol Bukit Kajang, semalam.
Timbalan Pengerusi Majlis Keselamatan Jalan Raya (MKJR) Selangor, Datuk Mohd. Yazid Sairi berkata, kebanyakan kamera hanya ditempatkan di lebuh raya, sedangkan insiden turut berlaku di kawasan tol.
“Persoalannya, mengapa pengguna tidak mematuhi had laju ketika menghampiri plaza tol walaupun papan tanda amaran sudah dipasang?
“Mungkin tiba masanya pihak berkaitan meneliti semula dan meletakkan kamera had laju sebelum plaza tol,”katanya selepas merasmikan penutupan Kursus Warden Trafik Sekolah (WTS) di Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Selangor, Padang Jawa, di sini hari ini.
Kosmo! semalam melaporkan seorang bayi lelaki berusia setahun maut manakala lapan lagi cedera dalam nahas membabitkan empat kenderaan termasuk sebuah lori tiga tan membawa barangan lusuh di Plaza Tol Bukit Kajang dalam kejadian kira-kira pukul 11 pagi.
Kata Mohd. Yazid, penambahan garisan tebal kuning atau ‘speed breaker’ juga wajar dipertimbangkan sebagai langkah tambahan mengurangkan risiko kemalangan.
Tambah beliau, aspek penguatkuasaan terhadap kenderaan perdagangan tidak boleh dipandang remeh terutama jika melibatkan kegagalan sistem brek lori.
“Pemeriksaan di Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) wajib dijalankan secara berkala. Tindakan tegas perlu diambil bagi memastikan pemilik kenderaan mematuhi arahan itu dan mewujudkan sistem automatik mengesan mereka yang tidak menjalani pemeriksaan lebih enam bulan,” ujarnya.- KOSMO! ONLINE